Skip to main
Logo Malaysiakini

Impian Oscars cuma angan-angan jika tiada pendekatan holistik

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pelakon Jasmine Suraya berharap kerajaan mahupun agensi bertanggungjawab berani keluar dari zon selesa dengan melabur untuk meningkatkan pembangunan kemahiran serta bakat berpotensi.

Jasmine berkata, hasrat kerajaan untuk membawa filem-filem tempatan bersaing di pentas antarabangsa atau inisiatif Road To Oscars ibarat angan-angan saja jika usaha itu tidak dilakukan secara menyeluruh.

“Saya fikir mentaliti rakyat Malaysia hanya untuk jangka masa pendek. Apabila cuba perkara baru dan gagal, kita takut nak melabur lagi dan berpatah balik ke zon selesa.

“Kita tidak patut ada slogan Road To Oscars kalau tidak serius. Kalau mahu ke peringkat antarabangsa dan seterusnya anugerah Oscars, kita harus bangunkan industri ini secara holistik.

“Kita juga kena ada bajet yang bagus. Jangan katakan perancangan hanya untuk lima hingga 10 tahun.

"Usaha sebegini mungkin memerlukan hingga 30 tahun, itu yang berlaku di Korea Selatan,” katanya.

Pemilik nama penuh Jasmine Suraya Chin Xian Mei itu meluahkan demikian sebagai tanda terkilan selepas permohonan untuk mendapatkan dana bagi menampung pengajian di Institut Perfileman dan Teater di Lee Strasberg, Los Angeles, AS, tidak berjaya sebelum ini.

Justeru, Jasmine, 34, berharap tiada lagi penggiat lain perlu berdepan situasi sama yang ditempuhinya itu.

Terpaksa tunda kelas

“Saya agak terkilan kerana mereka ada dana untuk perkara lain tapi tidak ada untuk pembangunan bakat anak seni.

“Tidak mengapa jika tak beri kepada saya. Masih ada banyak lagi bakat berpotensi tapi datang daripada golongan tidak berkemampuan.

“Laburkan juga kepada mereka yang benar-benar bagus dan bukannya amalkan nepotisme,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Mask Team di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pelakon KL Wangan itu berasa bangga apabila menjadi satu-satunya anak Malaysia diterima melanjutkan pelajaran ke akademi elit yang pernah melahirkan selebriti terkemuka seperti Al Pacino, Marilyn Monroe, Angelina Jolie, Chris Evan, Scarlett Johansson dan Lady Gaga.

Namun, sebelum terbang ke sana, pelakon itu mengakui bakal berdepan cabaran besar terlebih dulu terutama dari segi menanggung kos perbelanjaan.

Dia sebelum ini juga pernah menunda kelas pengajian lakonan tersebut bagi memenuhi tawaran berlakon di Indonesia.

Selepas beberapa bulan tertunda, Jasmine akhirnya berangkat ke Los Angeles semalam untuk bercuti sebelum memulakan pengajian selama setahun bermula April ini.

Untuk memenuhi hasratnya itu, Jasmine mengakui dia terpaksa menjual barangan peribadi untuk menampung perbelanjaan pengajian sepanjang di sana.

“Saya perlukan perbelanjaan tinggi iaitu hampir RM300,000 ke RM400,000. Mata wang kita pula sangat rendah sekarang, jadi bertambah rasa terbeban.

“Saya jual barangan yang akan jatuh nilai seperti kereta. Bagi saya, tiada guna simpan, jadi baik kita laburkan.

“Selain itu, saya juga jual beberapa barangan peribadi seperti bag tangan dan kasut,” katanya.