Skip to main
Logo Malaysiakini

'Noktahkan kemelut balu Abam bocey, ipar sempena Aidilfitri'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pelawak Achey menyeru balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nor Hidayah Mohd Ali dengan adik iparnya, Ali Puteh mengakhiri kemelut mereka yang berpanjangan, jika masih ada isu yang belum diselesaikan.

Seelok-eloknya, kata Achey, biarlah masalah yang belum selesai antara kedua-dua pihak yang berantakan itu dinoktahkan sebelum Aidilfitri nanti.

“Pejam celik, pejam celik, sudah empat tahun arwah Abam meninggalkan kita. Anak-anak (Nor Hidayah dan Ali Puteh) juga semakin membesar dan sudah mula faham (boleh menilai).

“Kita tidak mahu tanam sifat benci pada anak-anak itu. Sebab mereka ada pertalian darah daging.

“Pesanan saya pada Ali dah Nor Hidayah; jika kedua-duanya memikirkan arwah, tolong hentikan apa yang tidak selesai menjelang Aidilfitri ini. Selesaikan cara baik, serta jangan diuar-uarkan,” katanya.

Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah turut menolak dakwaan dia dan seorang lagi anggota Bocey, iaitu Fad hanya berdiam diri berhubung kemelut antara Nor Hidayah dan Ali Puteh.

Achey, 37, menjelaskan dia dan Fad mengambil keputusan untuk tidak mencampuri urusan keluarga itu selepas usaha untuk mendamaikan kedua-dua pihak secara tertutup sebelum ini gagal.

Dari kiri: Achey, Arwah Abam dan Fad

“Lebih baik kami angkat kaki sebab kami tidak mahu timbul salah faham. Kami hanya mampu doa dari jauh sebab kami hanya adik-beradik dalam industri.

“Senang cerita, saya dan Fad ini dikira orang luar, hal yang berlaku itu adalah hal keluarga. Siapa kami untuk mencampuri urusan mereka.

“Tapi saya juga mahu beraya dan bergambar bersama mereka, jadi sampai bila saya harus rasa bersalah begini?” katanya ketika ditemui pada majlis Grand Iftar bersama asnaf anjuran GNI Pharma Sdn Bhd di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Pada majlisi itu, Pengarah Urusan GNI Pharma, Rahmat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Gaddafi Syed Saifuddin menyantuni kira-kira 300 asnaf termasuk anak-anak yatim dari sekitar Lembah Klang dengan berkongsi kemeriahan berbuka juadah bersama selebriti di sebuah hotel lima bintang.

Selain Achey, turut memeriahkan majlis adalah Rozita Che Wan, Ayu Raudhah dan suaminya yang juga bekas ketua pasukan Harimau Malaya, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Baru-baru ini, Ali Puteh melalui platform TikTok menunjukkan 27 keping resit sebagai bukti telah melunaskan hutang sebanyak RM72,490 kepada Nor Hidayah.

Pertikaian berlaku selepas kakak iparnya itu enggan menerima baki hutang sebanyak RM75,000 secara tunai apabila Ali Puteh, atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, tiba-tiba muncul di rumahnya pada 20 Februari lalu.

Jumlah tersebut ditolak RM3,000 daripada tuntutan asal kerana Nor Hidayah juga ada berhutang dengannya.

Ali perlu membayar wang tersebut selepas kalah dalam kes saman fitnah terhadap Nor Hidayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Disember 2022.

Sementara itu, Achey turut meluahkan hasrat untuk melihat anak arwah Abam, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, 3, membesar dengan hasil sumbangan titik peluhnya.

Bagaimanapun, katanya, keinginan itu masih belum tercapai disebabkan perselisihan faham antara Nor Hidayah dan Ali Puteh.

“Saya dan Fad juga mahu anak arwah membesar dengan hasil pemberian kami. Dari segi bantuan atau ziarah kami perlu tunggu hingga betul-betul selesai. Lama macam mana sekali pun, kami tunggu.

“Kalau tidak, mungkin pihak di sini akan berasa kami berpihak pada yang sana dan begitu juga sebaliknya,” kata Achey lagi.