Skip to main
Logo Malaysiakini

Ilmu pengetahuan perlu untuk elak ditipu

Artikel ini sudah 7 bulan diterbitkan

Pelakon dan pengacara Zoey Rahman beranggapan penting untuk dia terus menambah ilmu pengetahuan tanpa mengira usia sekiranya dia memasang impian untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diusahakan.

Justeru, untuk mencapai hasratnya itu, Zoey memaklumkan dia berhasrat menyambung pengajian bidang perniagaan peringkat sarjana di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi.

“Dah tua-tua bangka pun saya masih nak jadi pelajar. Walaupun saya sudah berusia macam ini, saya masih sanggup kejar ilmu pengetahuan.

“Insya-Allah, saya akan bergelar pelajar dalam bidang perniagaan di UKM suatu hari nanti,” katanya.

Menurut Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, keputusan menyambung belajar itu bermula selepas dia menyertai mengendalikan majlis memorandum persefahaman (MOU) antara Usanita dan UKM tahun lalu.

Katanya dia berminat untuk terus belajar kerana peluang itu terbuka luas untuk sesiapa selagi dia mempunyai minat dan keazaman.

“Ada pensyarah yang bertanya sama ada saya masih minat untuk sambung pelajaran atau tidak. Saya katakan, sudah tentu saya berminat.

“Sebabnya ia demi kembangkan perniagaan. Saya sanggup kejar ilmu demi masa depan diri dan syarikat,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan pelancaran tiga produk Mikaseries dan Sambal Nengar di sebuah restoran di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis itu, Zoey mengumumkan produk penjagaan kulit dan kecantikan yang sudah tujuh tahun bertapak di negara ini bakal melebarkan sayap ke Bangladesh, selain dipasarkan ke 150 kedai rangkaian serbaneka Watson termasuk di Sabah dan Sarawak.

Walaupun Sambal Nengar baru dua bulan dilancarkan, jenama terbaru dalam rangkaian perniagaannya itu terjual lebih 10,000 botol termasuk jualan dalam talian di Shopee dan TikTok.

Zoey mengulas demikian ketika ditanya isu lambakan dunia pempengaruh yang membuatkan ramai anak muda hilang minat untuk terus belajar.

Meskipun segelintir pihak berpendapat tidak guna menuntut ilmu hingga ke menara gading kerana ia bukan penentu kejayaan seseorang, namun Zoey berfikiran sebaliknya.

Menurut Zoey, 39, ilmu bukan saja penting untuk pengetahuan, sebaliknya ia berguna agar seseorang tidak mudah ditindas.

“Kita kena belajar apa saja ilmu termasuk agama supaya hidup kita dirahmati dan taklah orang boleh pijak kepala kita.

“Walaupun seseorang itu pempengaruh gred A mahupun B, kalau tidak ada ilmu, asyik ditipu sewaktu tandatangan perjanjian kontrak dengan mana-mana pihak pun susah juga.

“Saya sanggup cari ilmu dari pelbagai sudut termasuk melalui media sosial malah saya tidak sangka, dulu tiada ilmu perniagaan tapi selepas menyertai kelas perniagaan yang mencecah hingga ratusan ribu ringgit, apa saya usahakan berjaya hingga ke tahap ini,” katanya.