Skip to main
Logo Malaysiakini

Kitaro antara artis bakal meriahkan RWMF di Kuching

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Acara tahunan Rainforest World Music Festival (RWMF) akan kembali memeriahkan suasana di Kampung Budaya Sarawak di Kuching dari 28 hingga 30 Jun ini dengan tema Evolusi.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata artis legenda yang pernah memenangi anugerah Grammy dan Golden Globe, Kitaro, adalah antara penghibur yang akan tampil membuat persembahan di festival itu nanti.

“Artis yang terkenal dengan muzik instrumental elektronik itu menjanjikan persembahan yang memukau lagi mempesonakan bagi penampilan sulungnya di festival ini.

“Kitaro sering dianggap sebagai salah seorang artis yang menampilkan persembahan muzik paling menonjol dalam muzik era baru.

"Dia boleh bermain kira-kira 50 alat muzik dan mempunyai koleksi alat muzik tradisional yang banyak dari seluruh dunia,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran RWMF 2024 di Kuching semalam.

Selain Kotaro, artis lain yang akan turut memeriahkan lagi RWMF tahun ini ialah Zainal Abidin yang terkenal dengan lagu Hijau sejak lebih tiga dekad.

Abdul Karim Rahman Hamzah

Abdul Karim berkata pelbagai pilihan tiket untuk menyaksikan RWMF 2024 ditawarkan khusus bagi memenuhi keperluan setiap peminat dari pelbagai lapisan masyarakat.

Pilihan tiket ialah pas tiga hari berharga RM635 untuk dewasa yang memberikan akses kepada keseluruhan acara, selain pas sehari untuk dewasa (belian awal) RM235, prajualan (RM283), dan jualan pintu (RM333).

“Kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun boleh menyertai keseronokan persembahan dengan pas sehari berharga RM80, manakala bagi kanak-kanak bawah tiga tahun kemasukan adalah percuma,” katanya.

Sebanyak 20 persembahan terdiri daripada 68 pemuzik antarabangsa dari 14 negara bersama 63 artis Malaysia akan membuat persembahan di RWMF kali ke-27 itu.

- Bernama