Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kuasa filem propaganda

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

ULASAN | Maafkanlah saya kerana terus bercakap dan kekal menulis perkara ini walaupun setelah tiga buah artikel, Menjenamakan Sebuah Parti Politik, Prabowo Menjenamakan Diri di Dunia Tik Tok dan Propaganda Bukan Jahat diterbitkan di sini.

Sebelum Presiden John F Kennedy ditembak mati, dia pernah menyebut sesuatu yang ada kaitannya dengan apa yang hendak saya sentuh dalam artikel ini.

Kata Kennedy: "Tatkala kuasa merosak, puisi akan menyucikannya. Seandainya lebih ramai ahli politik memahami puisi, dan lebih ramai penyair memahami politik, saya yakin dunia akan menjadi tempat yang lebih baik untuk hidup."

Kata-kata Kennedy itu tidak pernah menjadi bahan jenaka dalam mana-mana filem satira politik atau komedi gelap Hollywood yang mahu menyentap kesombongan anggota senat mahupun mengusik ego para seniman yang sering berasa mereka sahajalah yang paling benar.

Bahkan ia dipetik berkali-kali sebagai kata-kata keramat yang memberitahu betapa seni dan politik itu sama penting dan sama utama kepada negara dan rakyat.

Kennedy seakan-akan dengan halus cuba mengajak dunia seni dan politik - yang selalu bergasak - untuk berdamai lalu menjadi ‘sesuatu’ yang dapat menyatukan bangsa dan negara.

Artikel ini adalah mengenai sejarah awal propaganda filem.

Saya yakin propaganda adalah segala aktiviti komunikasi berisi pujukan yang menggunakan ucapan, teks, gambar, simbol dan muzik agar kumpulan sasar dapat dipengaruhi dengan apa jua rancangan dan niat sang propagandis.

Dapat tawaran dari tentera

Ia dilakukan dengan cara mendoktrinasikan idea serta menciptakan keyakinan yang berfokus dan spesifik hasil daripada peristiwa-peristiwa yang disampaikan menerusi media secara sistematik dan berulang-ulang.

Secara mudahnya filem menggabungkan semua bentuk mesej komunikasi tersebut.

Definisi propaganda saya itu tidaklah jauh dari makna seni kerana seni adalah suatu hasil kerja yang mengalami beberapa proses utama, seperti pemilihan tema dan medium, penentuan set aturan, penggunaan set-set nilai yang akan menentukan ciri, dan elemen yang mahu digambarkan melalui sesuatu medium.

Seperti propaganda, suatu karya seni itu bukanlah sekadar mengisi ruang serta memenuhi keperluan estetika. Akan tetapi ia juga bertujuan menyampaikan idea, rasa dan perasan bersama anutan-anutan kepercayaan berisi ideologi dan falsafah dalam bentuk yang paling indah serta memberi kepuasan dan meyakinkan.

Salah seorang pengarah filem besar Hollywood, Frank Russell Capra, pernah menjadikan seni dan propaganda sebagai senjata perang paling ampuh buat menentang musuh-musuh AS.

Menurut Capra dalam bukunya The Name Above the Title, sehari selepas serangan Jepun ke atas Pearl Harbor, dua pegawai tentera AS datang menemuinya ketika dia sedang berkerja di studio Warner Brothers.

Di sana Capra ditawarkan untuk berkhidmat dengan angkatan tentera, bukan sebagai anggota biasa sebaliknya pembikin filem dokumentari propaganda perang.

Siri filem propaganda perang Why We Fight berupa: Prelude to War (1942), The Nazis Strike (1943), Divide and Conquer (1943), The Battle of Britain (1943), The Battle of Russia (1943), The Battle of China (1944), dan War Comes to America (1945) adalah kejayaan besar buat Capra dan AS.

Mereka menjadikan filem-filem propaganda Nazi sebagai senjata untuk menimbulkan rasa patriotik dan menaikkan semangat dalam kalangan rakyat AS.

Bagaimanapun Capra bukanlah pengarah filem pertama yang pernah melakukannya.

Semangat perpaduan Jerman

DW Griffith bertindak begitu melalui filem Birth of Nation (1915) yang memvisualkan situasi perang saudara dan era pembinaan semula AS sebagai sebuah negara dengan meletakkan perkauman sebagai temanya.

Ia kemudian menjadikan filem itu cukup kontroversi.

Rusia di bawah kepimpinan Lenin - yang juga peminat seni dan budaya - mula menggiatkan penghasilan filem propaganda demi memenuhi keperluan kerajaan dan kepentingan negara.

Dia percaya sinema Rusia yang dihasilkan itu nanti akan dapat mewujudkan kestabilan politik di negara tersebut.

Dari sanalah terlahirnya filem hebat The Battleship of Potemkin (1925) arahan Sergei Eisenstein yang menonjolkan kehebatan sebenar kuasa rakyat menumpaskan ketidakadilan dan kezaliman para bangsawan Rusia.

Jerman yang turut aktif menggeluarkan filem-filem propaganda telah menghasilkan Triumph of The Will (1935) arahan Leni Riefenstahl yang diperakui sebagai salah sebuah filem propaganda paling ikonik dalam sejarah perfileman.

Perincian dalam memperlihatkan kehebatan Third Reich dan kesucian manifesto Sosialisme Kebangsaan dengan laungan "satu rakyat, satu empayar, satu pemimpin" telah meneroka pesona Adolf Hitler sebagai Fuhrer melalui semangat patriotik berkenaan perpaduan, kuasa tanpa had, kerohanian dan kesempurnaan fizikal.

Adolf Hitler

Satu lagi filem propaganda yang perlu dikenang ialah The Great Dictator (1940) arahan Charlie Chaplin.

Berbeza dengan filem-filem propaganda yang sebelumnya, The Great Dictator mengangkat suara pembangkang yang menentang ketidakadilan dan kezaliman dalam politik, pentadbiran dan pemerintahan.

Dalam filem itu, Chaplin mempersendakan Nazi tidak saja dengan kelucuan, tapi dengan keanggunan apabila buat kali pertama legenda filem senyap itu memperdengarkan pidato berkesan yang dikenali The Final Speech (Pidato Terakhir).

“Saya mohon maaf, tetapi saya bukannya mahu menjadi maharaja. Itu bukanlah urusan saya.

"Saya tidak mahu menakluki atau memerintah sesiapa. Saya sepatut membantu semua orang yang ada.

“Kuasa itu untuk mencipta kebahagiaan! Kalian - rakyat - mempunyai kuasa untuk menjadikan hidup ini bebas dan menawan, menjadikan kehidupan ini sebuah pengembaraan yang indah.

"Kemudian atas nama demokrasi, mari kita menggunakan kuasa itu. Mari kita semua bersatu. Mari kita berjuang untuk dunia baru.

“Dunia yang lebih baik yang akan memberi lelaki peluang untuk bekerja. Yang akan memberikan masa depan kepada anak muda dan keselamatan kepada orang tua."


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.