Skip to main
Logo Malaysiakini

Rumah agam Sean Diddy Combs diserbu pihak berkuasa AS

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Pihak berkuasa AS menyerbu dua rumah agam milik Sean Diddy Combs - Holmby Hills dan Miami - sebagai sebahagian daripada siasatan mereka ke atas dakwaan pemerdagangan seksual membabitkan penyanyi rap terbabit.

Media melaporkan, rumah agam Seans itu dipenuhi pegawai penyiasat dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (HSI) AS.

Premis seluas 17,000 kaki persegi itu merupakan tempat Seans memulakan rakaman album terakhirnya setahun lalu.

Menurut LA Times, pegawai penyiasat membawa waran untuk menggeledah kediaman artis berkenaan bagi mengumpul bukti seperti yang diarahkan pihak pendakwa raya daerah New York Selatan.

“Awal hari ini HSI menjalankan tindakan undang-undang sebagai sebahagian siasatan dengan bantuan HSI Los Angeles dan HSI Miami serta rakan kongsi penguat kuasa undang-undang.

“Kami akan berikan maklumat lanjut tidak lama lagi,” kata jurucakap HSI yang dipetik LA Times.

Bintang rap yang kemudian bergelar usahawan itu menjadi tumpuan atas dakwaan serangan seksual dan pemerdagangan seks sejak tahun lalu.

Serbuan ke atas rumah agamnya itu adalah ancaman terbaru dan paling serius terhadap gaya hidup mewahnya setakat ini.

Nafi semua tuduhan

Empat plaintif wanita memfailkan saman sivil terhadap penyanyi terkenal lagu I’ll Be Missing You itu yang menuduhnya atas kesalahan merogol, pemerdagangan seks bawah umur, serangan dan pelbagai dakwaan penderaan lain sekali gus membahayakan empayarnya serts mengejutkan industri muzik.

Sean, 54, terlebih dulu mengumpul kekayaannya sebagai penerbit hip hop, artis dan pengasas Bad Boy Entertaintment, label yang menaikkan nama ramai antaranya mendiang Notorious B.I.G.

Bukan setakat itu, Sean kemudian melancarkan jenama fesyen dan mengeluarkan minuman keras yang membawa nilai tambah kepada perusahaannya.

Bekas teman wanita penyanyi rap itu, Cassandra Ventura atau penyanyi R&B yang lebih dikenali sebagai Cassie mendakwa Sean merogol dan melakukan serangan fizikal berulang kali selain memaksa dia melakukan seks dengan pelacur lelaki untuk disaksikannya.

Joi Dickerson-Neal pula menuduh Sean memberikannya dadah sebelum merogolnya pada 1991 serta merakam serangan dan mengedarkan ia tanpa persetujuan.

Satu lagi tindakan saman mendakwa Sean dan bekas presiden Bad Boy, Harve Pierre, merogol beramai-ramai dan memperdagangkan remaja berusia 17 tahun secara seksual.

Dalam satu kenyataan, Harve menyatakan tindakan itu sangat menjijikkan, tidak sahih dan cubaan terdesak untuk meraih keuntungan kewangan ke atas mereka.

Sehingga kini, Sean menafikan semua tuduhan itu.