Skip to main
Logo Malaysiakini

Anak jadi hero tatkala Rita berduka

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Biarpun masih berusia belasan tahun, pelakon Rita Rudaini boleh berbangga apabila anak sulungnya menunjukkan sikap matang ketika dia berdepan ujian hidup terutama apabila ketiadaan figura seorang bapa di sisi.

Rita berkata, Airit Rayyan Rizqin sentiasa ada menemaninya, dan pernah suatu ketika menenangkan keadaan apabila berduka kerana ditimpa sesuatu yang tidak diduga.

“Pernah satu isu tular sebelum ini dan saya yang tengok telefon bimbit diam, masa itu dia di depan saya dan bertanya; kenapa mommy sedih?

“Saya cakap saya sedih apabila baca komen. Dia kemudian cakap: tak apa, jangan baca lagi,” katanya.

Menurut Rita, Airit Rayyan, 15, seorang yang bijak mengawal emosi dan situasi selain tidak pernah gagal menyembunyikan apa yang dirasakan.

Kata pelakon Mami Jarum itu, anak lelakinya juga seolah-olah langsung tidak kisah mengenai keberadaan bapa kandung, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

“Saya pernah tanya Rayyan, dia nak tak jumpa ayahnya atau tak, dan dia hanya menggelengkan kepala.

“Saya tanya sekali lagi: kenapa tak mahu? Dia jawab kenapa dia perlu bertemu ayahnya?

“Selepas itu saya tidak tanya lagi, saya tidak mahu memaksa dia kerana emosi anak lelaki lebih sensitif daripada anak perempuan sebab anak perempuan dia akan luah, lelaki tidak,” katanya.

Dah tanya kena jelaskan

Rita berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama artis Starvendor KLCC Mega Raya Fest 2024 di Subang Jaya semalam.

Pelakon itu akan bersama-sama 70 selebriti dan pempengaruh media sosial menyertai acara itu yang akan berlangsung 72 jam tanpa henti bermula 29 Mac ini.

Terdahulu, media melaporkan Rita, 47, menafikan dia menghalang anak-anak bertemu dengan bekas suami yang juga pemain bola sepak, Aidil Zafuan.

Aktres itu mendakwa dia tidak menghasut anak-anak membenci bapa kandung mereka sebagaimana dakwaan sesetengah pihak.

Untuk rekod, selain Airit Rayyan, Rita dan Aidil Zafuan juga dikurniakan seorang lagi anak lelaki, Airit Qaqa Arjuna, 13.

Rita dan Aidil Zafuan berkahwin pada 2008, namun bercerai talak satu pada Sept 2013.

Jelas pelakon itu lagi, mereka bertiga sudah terbiasa menjalani kehidupan tanpa kehadiran orang lain.

Bagaimanapun perkara itu muncul kembali apabila ada netizen yang bertanya mengapa anak-anaknya tidak dibenarkan bertemu bapa mereka.

“Apabila ada orang tanya saya kena jelaskan sebab mungkin ada yang tidak tahu. Tapi apabila jadi tajuk berita, orang ingat saya masih nak ungkit cerita lama.

“Padahal saya bukan tak bagi jumpa, saya ada di rumah yang sama, masih menggunakan nombor yang sama, tapi sejak dulu memang dia tidak pernah cuba bertemu atau menghubungi anak-anak.

“Hari jadi tidak ada, hari raya tidak ada, hari biasa lagilah,” kata anak kelahiran Kangar, Perlis itu.

Tambahnya, dia sudah berusaha untuk mengajak Aidil Zafuan untuk bersama-sama bertanggungjawab ketika kedua-dua anak lelaki mereka memasuki sekolah tadika, tetapi ajakan itu tidak pernah berhasil.

Rita berkata, dia akhirnya nekad meneruskan kehidupan untuk membesarkan dua anaknya tanpa bantuan bapa mereka.

“Saya sebenarnya dah letak tarikh luput untuk dia berjumpa anak-anak iaitu ketika anak masuk tadika.

“Bagi saya cukuplah, itu momen penting dan saya buat keputusan untuk teruskan hidup kerana saya tidak mahu bermusuh.

“Tipulah kalau kata saya tidak sedih. Tapi kalau asyik nak fikir isu ini, kita akan terbawa-bawa, fikiran tidak akan tertumpu pada anak-anak dan nanti timbul rasa marah,” katanya.