Skip to main
Logo Malaysiakini

Ifa Raziah bangkit walau ada cubaan 'tikam belakang'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Penyanyi dan usahawan terkenal, Ifa Raziah, mendedahkan ada pihak cuba menikamnya dari belakang agar perniagaan yang diusahakan selama ini gagal.

Bukan setakat itu, dia juga mendakwa berdepan dengan ujian yang bertimpa-timpa sehingga sempat terfikir untuk mengakhiri saja penganjuran festival Starvendors yang dikendalikannya saban tahun.

“Mereka cuba jatuhkan saya. Ada seorang dua sanggup berbuat macam itu.

“Pagi (kelmarin) ini pula, saya terpaksa pecat dua pekerja sebab mereka menipu. Saya cuma minta kejujuran daripada mereka," katanya.

Dia mendakwa pekerja terbabit secara diam-diam memberikan khidmat mereka kepada pihak lain yang menganjurkan program berbeza.

Ketiadaan pihak sudi menawarkan diri menjadi penaja, menurut Ifa, menambah lagi rasa tawar hatinya untuk meneruskan festival tersebut.

Katanya, perkara itu mengakibatkan segala proses pengurusan menjadi lewat tahun ini hingga dia hanya mampu mengalirkan air mata.

“Saya pun memang dah kecewa dari awal sebab banyak isu malah terfikir edisi ke-15 ini adalah yang terakhir, tiada lagi selepas ini, mahu fokus perniagaan lain.

“Bohonglah kalau tidak menangis,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama Artis Starvendors di Subang Jaya, kelmarin.

Ruhainies tak terlibat

Starvendors KLCC Mega Raya Fest kali ini diadakan di Hall 4 dan 5, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula dari 29 Mac hingga 1 April.

Acara memberi tumpuan kepada pelbagai pilihan jenama membabitkan 300 reruai dan lebih 70 artis serta pempengaruh itu akan berlangsung berterusan 24 jam.

Menambah keperitan dilalui, Ifa, 48, berkata festival tersebut juga terpalit dengan isu pelakon Ruhainies didakwa berkhalwat dengan Aliff Aziz baru-baru ini dan dia diancam boikot oleh orang ramai.

“Ini pengumuman penting... saya umumkan Ruhainies secara rasmi tiada di Starvendors. Ini paling merisaukan vendor-vendor saya sebab isu boikot,” katanya.

Meskipun diuji dari pelbagai sudut, Ifa akhirnya boleh menghela nafas lega kerana acara itu akhirnya mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sebagai antara rakan strategik.

Katanya, Kuskop menawarkan subsidi mencecah RM500,000 buat vendor yang menawarkan potongan harga.

“Alhamdulillah, saya naik (bangun) semula. Ujian tidak mematahkan semangat. Rezeki saya hadir pada hujung-hujung, lagi empat hari acara nak bermula.

“Peniaga jangan risau kerana mereka boleh menawarkan potongan harga sewaktu happy hour sebanyak tiga kali dalam sehari.

"Dari situ, kerajaan bantu bayar untuk kadar diskaun diberikan kerana risiko isu kuasa membeli ketika ini.

“Ini sebab Allah tidak izinkan saya berhenti menganjurkan acara sebab niat saya waktu keliling Kaabah dulu adalah nak bantu rakan artis yang minta pertolongan untuk berniaga. Jadi saya kena kuat,” katanya.