Skip to main
Logo Malaysiakini

Akui mudah lupa diri, Datuk Red harap tak dijadikan idola

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Suami Adira Suhaimi yang lebih dikenali sebagai Datuk Red kini insaf akan kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini sehingga mengakibatkan dia tidak mempunyai pekerjaan sejak diisytiharkan muflis pada 2019.

Justeru, dia memohon agar orang ramai dapat mengambil iktibar daripada kisah hidupnya yang berdepan kegagalan.

“Jangan jadikan saya contoh, jangan jadikan saya idola. Fitrah kehidupan apabila senang, mudah lupa diri.

“Ini dah jatuh gedebuk, baru acah-acah sedih, acah-acah Islamik. Baru nak sedar, padan muka!” katanya di TikTok hari ini.

Sejak semalam tular kisah Datuk Red - atau nama sebenarnya Adnan Abu - yang terpaksa menebalkan muka merayu bantuan daripada orang ramai untuk memberikan pekerjaan buatnya.

Dia dikatakan berada dalam keadaan terhimpit kerana tidak mempunyai punca pendapatan dan pada masa sama menanggung hutang yang mencecah jutaan ringgit.

Katanya dalam satu wawancara, dia pernah meminjam wang RM100 daripada Adira bagi membeli juadah berbuka puasa untuk tiga orang anak daripada isteri pertamanya, Sharifah Norshafila Hashim.

Malah tanpa segan-silu, dia mengakui umpama biawak hidup yang ditanggung Adira sejak lima tahun lalu.

Dia juga berkata kepada media hari ini bahawa perlu untuknya mencari kerja bagi meneruskan kelangsungan hidup selain bagi anak-anaknya menyambut Aidilfitri nanti.

Pada 25 Okt tahun lalu, Adira memfailkan permohonan penceraian ke atas Datuk Red di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat atas alasan kerana tiada persefahaman.

Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019 namun menarik semula permohonan itu dengan alasan demi anak-anak.

Pasangan itu dianugerahkan empat anak iaitu Anggrek, 6;Asan, 5; Anggun, 4; dan Ayob, 5.

Melalui perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertamanya pula, mereka dikurniakan lima anak. Sharifah juga memfailkan permohonan penceraian daripada Datuk Red baru-baru ini.

Dunia rumah tangga lelaki terbabit bermula seawal dia berusia 20 tahun apabila bergelar suami buat kali pertama sebelum mereka berpisah lima tahun kemudian.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua anak.

Dalam hantaran sama di TikTok itu, Datuk Red, 46, berkata ada ramai insan yang mendoakan kesejahteraan selain berharap urusannya dengan keluarga dipermudahkan selepas kisahnya mahu mencari pekerjaan tular.

Hari ini katanya, ada individu bermurah hati membayar bil untuk makanan sahur.

“Saya baca komen, ramai rakyat Malaysia yang baik hati rupanya.

"Tuan-tuan dan puan-puan tidak kenal, tidak pernah jumpa tapi mendoakan saya lepas daripada masalah ini. Allahu Akhbar, baik hati betul.

“Tadi sahur, ada insan bayarkan, dia tidak berjumpa saya pun cakap ingin bayarkan. Terima kasih banyak kepada yang doakan, yang belanja makan dan prihatin.

“Saya doakan semoga rezeki tuan dan puan melimpah-ruah,” katanya.