Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengasas Anak Alam kembali ke pangkuan penciptanya

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Salah seorang pengasas kumpulan Anak Alam, Mustafa Ibrahim meninggal dunia pada 9.10 malam tadi di Hospital Kajang.

Penyair terkenal, Pyanhabib memaklumkan berita duka pemergian sahabatnya itu di Facebook miliknya malam tadi.

“Allah memuliakan pemergian abang Tapa di hari Nuzul Quran malam Jumaat 17 Ramadan.

“Selamat berangkat ya, bang,” ujarnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini Pyanhabib berkata jenazah Allayarham selamat dikebumikan kira-kira jam 11 pagi tadi di Tanah Perkuburan Baru Sungai Kantan, Kajang.

Pyanhabib berkata allahyarham dimasukkkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Februari lalu disebabkan masalah paru-paru serta menghidap dementia sejak beberapa tahun lalu.

“Beberapa kawan sempat datang ziarah di hospital setelah beberapa hari dimasukkan ke situ sebelum keadaannya kritikal,” ulasnya lagi.

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, allahyarham sempat menghasilkan buku Kumpulan puisi bersama Raja Ahmad Aminullah dan Zakaria Ali yang diternbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Tambahnya pemergian Mustafa memberi kesan mendalam terutama kepada keluarganya.

Anak Alam merupakan kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 70-an oleh sekumpulan seniman tanah air. Kumpulan itu disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.

Kegiatan mereka berpusat di sebuah banglo kolonial di tepi Padang Merbuk yang dikenali sebagai Rumah Anak Alam.

Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga menanggapi isu-isu masyarakat seperti isu kemiskinan menerusi karya mereka.

Antara sahabat pelukis-penulis yang hadir semasa pengebumian tadi ialah Ali Mabuha, Yusof Osman, Jalaini Abu Hassan, Prof Ismail Abdullah, Lat, dan Johan Jaaffar.