Skip to main
Logo Malaysiakini

Luluh sindir anak-anak buang ibu bapa di Aidilftiri

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Terkesan isu anak-anak ‘membuang’ ibu bapa dalam masyarakat, produksi The Chingu membawakan sebuah filem pendek, Luluh bagi mengetengahkan kisah sarat mesej dan teladan.

Mewakili The Chingu dan juga salah seorang pelakon Luluh, Sallywhoo berkata, idea pembikinan filem itu diinspirasikan daripada realiti yang biasa berlaku khususnya ketika perayaan Aidilfitri.

“Kami rancang projek ini dalam masa yang pendek. Bermula daripada perbualan kosong, kemudian kami cari team untuk kembangkan idea.

“Mesej yang cuba kami sampaikan ialah tidak kira apa berlaku, kita haruslah menghargai kedua ibu bapa,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan Luluh di Damansara baru-baru ini.

Sally berkata, penggambaran berlangsung selama dua hari dan dia bertuah dibimbing pelakon senior, Ku Faridah malah pengarah juga banyak membantu.

Memandangkan mereka semua tidak mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, Ku Faridah juga menjadi antara individu bertanggung jawab membantu terutama dari segi aspek lontaran emosi.

“Dari awal kami semua gemuruh, banyak benda kami risaukan. Tapi alhamdulillah, Mak Engku (Ku Fridah) banyak membantu.

“Setiap kali sebelum masuk set, dia ajak kami berlatih dulu dan ajar lontaran reaksi, dialog dan sebagainya.

“Pengarah juga banyak membantu kami untuk menjayakan karakter masing-masing,” katanya.

Selain Sallywho atau nama sebenarnya Nur Salihah Aimuni Muhammad Azaham, naskhah mendapat arahan Mohd Kamarul Ariffin itu turut dibintangi gabungan The Chingu yang terdiri daripada pempengaruh sosial media, MamatGotNoChill, Sabyzrose, Sikemimi, Aaabias, Thelikeyuti, Huzaid Haris, Mia Azahar, Toqzk, Pojie dan penampilan istimewa, dramatis Ku Fridah Ku Shafie.

Karya berdurasi 25 minit itu berkisahkan seorang ibu tunggal yang tinggal di sebuah kampung bersama anak bongsunya, Ucu, manakala lima anak lain sibuk dengan kehidupan masing-masing.

Disebabkan terlalu sibuk dengan kehidupan, mereka tidak mengendahkan hati dan perasaan ibu yang kini uzur malah enggan pulang bagi meraikan Aidilfitri yang bakal menjelma bersama wanita yang membesarkan mereka itu.

Mengulas lanjut, Sally berkata, harapannya terhadap Luluh yang ditayangkan melalui saluran YouTube The Chingu Entertainment akan mendapat sambutan hangat.

Untuk rekod, hasil semakan Malaysiakini setakat 29 Mac, filem pendek itu sudah ditonton lebih 500,000 kali.

“Kami berharap lepas ini boleh kembangkan karya penuh mesej dalam filem pendek lain.

“Kami akan terus hasilkan naskhah yang boleh beri pengajaran agar emosinya sampai kepada penonton,” katanya.