Skip to main
Logo Malaysiakini

Kementerian Komunikasi cadang Siti Nurhaliza diiktiraf Biduanita Negara

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Siti Nurhaliza mungkin bergelar Biduanita Negara jika cadangan penganugerahan kepada penyanyi terkenal itu dipersetujui kerajaan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata proses itu mungkin memakan masa untuk diteliti.

“Saya ada bangkitkan dan ia ambil masa untuk diproses. Saya nampak, mungkin kita akan cuba lihat apa boleh dilakukan untuk percepatkan proses,” katanya.

Fahmi berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama pengamal media di sebuah hotel di Kuala Lumpur malam tadi.

Sebelum ini, kejayaan Siti Nurhaliza ketika menganjurkan konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza pada 9 Mac lalu mengundang perhatian ramai hingga ada yang menyarankan penyanyi itu diberikan gelaran tersebut.

Namun Siti Nurhaliza yang diminta mengulas perkara itu berkata, dia tidak terlalu berharap dengan gelaran berkenaan kerana karier nyanyian yang diceburi dilakukan atas dasar minat.

Bagaimanapun Fahmi berkata dia belum boleh mengulas perkara itu secara terperinci kerana ia masih dalam proses perbincangan.

“Jadi belum sesuai untuk saya komen lebih sebab perkara dalam perbincangan dalaman,” katanya.