Skip to main
Logo Malaysiakini

Jaafar 'cemburu' lihat keluarga bahagia orang lain

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Menjelang hari-hari terakhir perpisahan abadinya, pelakon serba-boleh, Allahyarham Jaafar Onn ada meluahkan hasrat untuk menikmati suasana keluarga bahagia.

Namun, impian Jaafar - yang menggelarkan dirinya sebagai Papa itu - tidak kesampaian memandangkan kehidupan berumah tangga sudah pun lama berakhir.

Malah kata pelakon sitkom ikonik Cili Padi itu, kali terakhir dia bertemu dengan satu-satu anaknya ialah pada 1987.

“Papa cemburu tengok orang lain yang ada keluarga bahagia, mereka keluar dan makan bersama-sama tapi Papa tidak dapat itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Wawancara terakhir bersama arwah itu diadakan ketika dia menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada penggiat seni anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) pada 28 Mac lalu.

Majlis berbuka puasa itu dihadiri tetamu kehormat, Menteri Perdagangan Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd.

Karyawan turut memberi sumbangan RM1,000 kepada 50 artis termasuk Jaafar.

Dia merupakan nama yang cukup ikonik dan sangat popular dalam dunia hiburan tempatan. Selain berlakon, Jaafar juga penari dan cef selebriti yang selalu menjadi rebutan penerbit televisyen.

Artis veteran itu meninggal dunia ketika menjalani prosedur pembedahan endoskopi pada 11.32 pagi semalam. Allahyarham menutup usia pada 72 tahun.

Sebelum itu, Jaafar dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang akibat mengalami tekanan darah rendah dan pendarahan tanpa henti sewaktu membuang air besar.

Arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Masjid Jamek Al-Firdaus, Tanjung Gading, malam tadi.

Tidak mahu terus mengenang kisah duka, Jaafar mengisi kekosongan hidup dengan cara tersendiri. Antaranya dia menghabiskan masa dengan memasak dan menjamu rakan taulan.

Walaupun sumber pendapatan tidak seberapa sejak kesihatannya merosot akhir-akhir ini, Jaafar masih membuka pintu untuk sahabat menjamah hidangannya.

“Saya buka pintu seluas-luasnya, datanglah siapa nak datang pun. Soal rezeki, kita percaya pada qada dan qadar Allah.

“Kalau ada wang sedekah waima RM50 pun saya minta anak angkat (Mohd Hanif Mohd Hashim) belikan bahan masakan.

“Kalau rezeki duduk rumah batu dengan 10 bilik sekali pun, apabila mati, rumah itu akan ditinggalkan; ada duit berjuta-juta dalam bank pun, kita tidak akan bawa sampai ke kubur.

“Tapi hati Papa senang apabila belanja orang ajak makan di rumah. Papa rasa itulah cara terbaik terutama di bulan puasa. Rasa terisi hidup kita,” katanya sambil menahan sebak.