Skip to main
Logo Malaysiakini

Aisha Retno nafi guna 'kabel' masuk Festival Java Jazz

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Penyanyi Aisha Retno menafikan dia menggunakan ‘kabel’ ibunya - yang juga penyanyi terkenal Indonesia era 1980-an, Jean Retno Aryani - untuk beraksi buat julung kali di Festival Java Jazz (JJF) 2024 pada Mei ini.

Sebaliknya, kata Aisha, namanya dalam persada seni terlebih dulu melonjak selepas muncul dengan lagu berbahasa Inggeris berjudul W.H.U.T (Wanna Hold You Tight) yang dilancarkan pada Dis 2021.

“Walaupun ada darah Indonesia, memang bukan mudah untuk lebarkan sayap ke sana, tapi maaf, saya tidak pakai kabel (orang dalam).

“Saya percaya penganjur tawarkan peluang kerana menilai bakat dan pencapaian diri dalam bidang muzik sebelum ini. Lagu saya W.H.U.T pernah tular pada 2021.

“Karya itu mungkin membuka mata pihak organisasi untuk mengundang saya menjayakan festival berkenaan. Jadi saya juga harap lagu Melayu dendangan saya akan diterima peminat di sana,” katanya.

Pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu malah tidak menolak kemungkinan dirinya juga dilamar penganjur susulan kejayaannya merangkul gelaran naib juara Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) yang berlangsung Mac lalu.

Mengukuhkan kenyataan itu, kata Aisha, 23, dia dilamar penganjur JJF 2024 tidak berapa lama selepas Sutera yang dicipta bersama komposer MFMF dinobatkan naib juara pertandingan lagu tersebut.

“Ada ura-ura yang bercakap begitu daripada tim produksi. Baguslah, kalau ia benar. Saya ditawarkan peluang selang beberapa hari saja selepas AJL38 berakhir.

“Mereka (penganjur JJF) juga minta saya nyanyikan Sutera pada persembahan di sana nanti. Jadi, mungkin ia tidak lain tidak bukan, itulah sebabnya (kemenangan).

“Selain itu, tahun lalu saya pernah adakan showcase di Indonesia, jadi kemungkinan mereka sudah memantau perkembangan dan prestasi saya sejak itu,” katanya ketika ditemui di sebuah majlis berbuka puasa di Subang Jaya baru-baru ini.

FJJ 2024 itu bakal berlangsung pada 24 hingga 26 Mei ini di JiExpo Kemayoran, Jakarta, Indonesia.

Peluang untuk belajar

Antara penyanyi tempatan yang pernah beraksi di festival itu adalah Sheila Majid, Atilia dan Elvira Arul.

Aisha berkata dia begitu teruja dapat mewakili Malaysia ke sana kerana impiannya untuk beraksi sepentas dengan ramai penghibur hebat Indonesia akhirnya bakal menjadi kenyataan.

Menurutnya, dia mula memasang impian untuk bergelar penghibur acara muzik hebat itu sejak kali pertama menonton JJF kira-kira 10 tahun lalu.

“Saya rasa ini satu titik tolak dan boleh katakan hal yang akan buatkan saya lebih berani untuk berdepan peminat Indonesia. Di sana, mereka kebanyakannya hanya mengenali lagu tapi bukan wajah saya.

“Jadi, melalui JJF ini juga, saya boleh kembangkan pasaran di sana; inilah pendendang W.H.U.T, ia satu peluang untuk perkenalkan siapa Aisha Retno,” katanya.

Diminta mengulas kesediaannya untuk membuat persembahan terbaik berikutan dirinya ‘menggantikan’ Sheila pada tahun ini, Aisha berkata, penyanyi lagu hit Sinaran itu bukan seorang yang boleh “digantikan.”

“Memang gemuruh. Sheila Majid tidak boleh digantikan sebab bagi saya, posisi dia memang seorang artis legenda. Hampir setiap tahun dia buat persembahan di JJF.

“Tapi mungkin kali ini, penganjur berikan peluang kepada yang lebih muda untuk belajar mengenai persada dan alam jazz. Tahun depan mungkin orang lain pula,” katanya.