Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie tak mahu kejar apa-apa lagi

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Berada di pentas hiburan hampir 40 tahun, Awie, menyatakan tiada apa-apa lagi mahu dikejar dalam kariernya.

Malah bapa kepada enam cahaya mata itu berkata dia mahu teruskan kehidupan dengan berniaga dan melihat anak-anaknya membesar.

"Sekarang masih ada anak kecil lagi, umur dah 'lima ratus enam puluh tahun', anak dalam perut baru lima bulan dan bayangkan 10 tahun akan datang dia (anak) baru 10 tahun, saya dah 66, nak buat apa? 

"Jadi, saya fikir mahu teruskan kehidupan dengan berniaga, tengok anak yang nak membesar. Tiada apa lagi yang nak dikejar, apa nak dicari dalam karier yang hampir 40 tahun ini. Dah terlalu lama sangat," katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.

Penyanyi dan pelakon berusia 56 tahun itu berkata dia bakal menimang anak ketujuh apabila isterinya Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin,35, kini hamil lima bulan.

Mengulas mengenai sambutan hari raya aidilfitri kali ini Awie berkata, kali ini dia berpeluang meraikannya bersama semua enam anaknya buat pertama kali dalam tempoh sembilan tahun. 

"Saya bersyukur doa untuk beraya dengan semua anak, terutama dua daripadanya yang kini di bawah jagaan bekas isteri iaitu Putra Ahmad Rezzki, 16; dan Putri Qasseh Antasha, 14; dimakbulkan Allah. 

"Apatah lagi, dalam tempoh sembilan tahun ini sebenarnya baru kali pertama saya dapat beraya dengan semua anak sebab selalunya setiap tahun saya akan pergi bercuti apabila tiba aidilfitri,” katanya dipetik sebagai berkata.