Skip to main
Logo Malaysiakini

Kontroversi Suria FM sedarkan DJ Lin dari 'tidur yang lena'

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Gara-gara dihimpit kontroversi terkait stesen radio pada Jan lalu, Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin, berkata dia sangat bersyukur kerana dirinya disedarkan daripada 'tidur' yang lena.

Bagi DJ Lin, tidak guna untuk mengeluh disebabkan isu berkenaan kerana dia yakin setiap dugaan pasti datang bersama hikmah yang tertentu.

“Saya percaya ada hikmah di sebalik ujian kerana Allah tidak akan menguji hambanya tanpa mendatangkan mesej.

“Jadi, saya sangat reda dengan apa yang berlaku kerana banyak kesedaran yang Allah berikan daripada terlena lama sangat,” katanya.

Atas alasan itu juga, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid menyedari bahawa kebaikan yang dihulurkan sebelum ini tidak semestinya dibalas juga dengan kebaikan.

Malah katanya ujian yang menimpa secara tidak langsung mengajar dia mengenali erti kata sebenar sikap manusia.

“Sebagai manusia, saya terima apa saja. Apa tindakan berlaku, saya terima itu sebagai ujian Allah. Dia banyak perlihatkan tentang perangai manusia.

“Dari satu sudut, saya bersyukur kerana Allah sedarkan bahawa kebaikan tidak semestinya dibalas dengan kebaikan. Namun, jauh di sudut hati, rasa terkilan kerana silaturrahim itu adalah penting,” katanya.

Justeru, apabila ditanya soal memberikan kemaafan sempena Syawal ini, DJ Lin, 48, hanya mampu berlapang dada.

“Saya suka bermonolog dengan Allah apa saja curahan hati kerana Tuhan tidak pernah tidur, jadi apabila sebut soal kemaafan, siapa kita untuk kawal segala-galanya,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media Raikan Yang Dirai di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jan lalu, khidmat penyampai radio Suria FM segmen petang, Tyzo Xander, yang berakhir tiba-tiba mengundang kontroversi apabila stesen radio berkenaan mendakwa ia merupakan langkah dalam merangka strategi dan perancangan baru untuk menghasilkan produk lebih menarik serta segar bagi 2024.

Doa di Tanah Suci

Lebih mengejutkan apabila Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zoqarnain Idris mendakwa ia bukan keputusannya kerana dia masih mahu bekerja dengan Suria FM.

Perkongsian itu mendapat maklum balas warganet dengan rata-rata meluahkan perasaan kecewa malah mengancam untuk memboikot stesen terbabit.

Sementara itu, berkongsi perkembangan terbarunya, DJ Lin berkata, dia bakal berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah bermula 10 Syawal ini.

Katanya, dia begitu teruja kerana ibadah itu akan dilaksanakan buat pertama kali ketika Syawal.

“Insya-Allah, pada 10 Syawal, saya akan kerjakan umrah bersama kira-kira 14 anggota keluarga sekali. Sebelum ini saya berpeluang ke sana semasa Ramadan,” katanya.

Berkongsi doa yang akan dipohonkan sewaktu di sana, DJ Lin berkata, dia berharap semua kakitangan Suria FM terus diberikan kekuatan berdepan segala ujian.

“Saya juga berharap kami boleh terus fokus untuk berikan yang terbaik kepada pendengar setia kerana Suria FM sudah diibaratkan seperti nyawa saya,” katanya.