Skip to main
Logo Malaysiakini

Nikita galakkan mangsa dera berkongsi pengalaman perit

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Artis sensasi Indonesia, Nikita Mirzani, mendakwa dia didera teman lelakinya hingga memberi kesan kepada kesihatan mental.

Mendedahkan situasi didakwanya itu melalui sesi 'curhat' di media sosial, sosok Nikita terus menjadi perhatian kerana sejak kebelakangan ini dia disebut-sebut banyak berubah kerana tidak lagi seperti dulu.

Baru-baru ini Nikita, 38, tiba-tiba memuat naik kenyataan di Instagram bagi mendedahkan dirinya menjadi mangsa keganasan.

Bagaimanapun, sewaktu diundang menjadi tetamu untuk program Pagi Pagi Ambyar Trans TV hari ini, ibu kepada tiga anak itu menegaskan dia tidak ingin membicarakan secara terperinci mengenai teman lelakinya yang mempunyai awalan nama RI itu.

Sebaliknya, Nikita berkata, dia cuma mahu menitipkan pesanan buat wanita yang senasib dengannya dengan peringatan bahawa kesihatan mental adalah sangat penting.

“Saya hanya mahu kongsi pengalaman hidup, itu saja. Untuk menulis hal itu pun mengambil masa tiga hari.

“Saya cuma mahu menjelaskan kesihatan mental itu sangat penting. Jangan sampai kita sanggup bertahan dengan hubungan sebegitu.

“Kebanyakan wanita mungkin akan terus kekal dalam hubungan kerana bimbang mereka akan kehilangan pasangan. Jangan begitu,” katanya.

Semalam media Indonesia melaporkan Nikita mengakui RI - atau Rizky Irmansyah - adalah lelaki yang pernah dicintai pelakon filem Lihat Boleh, Pegang Jangan itu.

Nikita yang turut terkenal melalui filem Beautiful Pain itu mendakwa dia memiliki bukti Rizky melakukan penderaan mental dan fizikal ke atasnya.

Tambah Nikita, sebelum ini dia tidak pernah mendedahkan kisah itu kepada umum namun bertukar fikiran sekarang kerana menganggap sudah tiba masanya untuk membongkar hal berkenaan kepada umum.

Pada masa sama dia menitipkan pesanan buat wanita yang menjadi mangsa keganasan pasangan agar tidak takut untuk berkongsi masalah dengan orang lain yang boleh dipercayai.

Katanya, mangsa sewajarnya menanam fikiran positif selain berusaha untuk cuba berdikari demi masa depan.

“Saya sebagai seorang selebriti yang memiliki pengikut ramai mahu berkongsi cerita. Saya mahu nasihatkan agar kamu tidak takut untuk bercerita.

“Saya percaya ketika membuat hantaran ini, ramai wanita di luar sana yang mengalami hal yang lebih serius daripada saya.

“Mungkin kebanyakan wanita hidupnya dibiayai oleh lelaki, tetapi saya tidak.

“Saya boleh berdiri di atas kaki sendiri dengan pendapatan sendiri. Jadi, saya tidak takut untuk bercerita,” katanya.