Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis berkas suspek tembak rumah Salman Khan

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Polis Mumbai memberkas dua lelaki dikenali sebagai Vicky alias Vikas Gupta, 24, dan Sagar Pal, 21, di Gujarat, kerana disyaki melepaskan empat das tembakan ke arah kediaman pelakon Salman Khan, di Bandra Ahad lalu.

Pegawai polis berkata, suspek berasal dari daerah Champaran di Barat Bihar itu mencari perlindungan dalam kumpulan penganut Hindu yang berkumpul untuk menyambut perayaan Navratri di kuil Matanamadh kira-kira 95 kilometer dari Bhuj.

Mereka dilaporkan memberitahu polis bahawa adik kepada seorang ketua gangster iaitu Lawrence Bishnoi berkata aktor terbabit patut dihukum kerana memburu antelop Blackbuck di Bawad, Mathania berdekatan Jodhpur pada 1998.

Times of India melaporkan suspek turut memberitahu mereka diminta melepaskan tembakan sebagai tanda amaran untuk menakut-nakutkan pelakon itu dengan wang ganjaran sekitar RM5733 (Rs 1 lakh) dan bakinya RM17,200 (Rs 3 lakh) sekiranya berjaya menyelesaikan tugas.

Kedua-duanya didakwa bawah Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan konspirasi jenayah serta Akta Senjata, dan direman dalam tahanan polis hingga 25 April ini.

Polis akan mendapatkan perintah mahkamah ke atas Lawrence yang dipenjarakan di Tihar dan memeriksa rekod jenayah (LOC) sama ada Anmol yang berpangkalan di Kanada berada dalam senarai dikehendaki polis.

Anmol merupakan suspek utama yang didakwa merekrut dua pemuda terbabit dan mengaku bertanggungjawab ke atas tembakan yang dilepaskan serta secara tidak langsung mengugut Salman melalui media sosial.

Ketua menteri Maharashtra, Eknath Shinde yang melawat kediaman Salman semalam berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Eknath turut mengarahkan polis untuk mengukuhkan perlindungan keselamatan untuk pelakon terbabit dan keluarganya.

Pesuruhjaya Jabatan Siasatan Jenayah, Lakhmi Gautam berkata, pihaknya sedang menyiasat sekiranya kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau.

“Tertuduh melepaskan tembakan atas arahan Lawrence demi ganjaran wang.

“Anmol berkomunikasi dengan kedua-dua tertuduh dan mengarahkan sekurang-kurang dua magazin peluru (satu magazin mengandungi 5 butir peluru) pada kediaman Salman untuk memberi amaran tapi tidak perlu mencederakan sesiapa.

“Sabtu lalu, selepas merayau-rayau sepanjang malam di Bandstand hingga jam 4.51 pagi, mereka menuju ke kediaman Salman dan melepaskan empat tembakan dari motosikal yang bergerak secara perlahan.

“Empat tembakan dilepaskan dengan lancar, namun tembakan kelima tersangkut mengakibatkan mereka meninggalkan tempat kejadian.

“Kami sedang mengenalpasti individu yang membekalkan senjata api serta wang kepada tertuduh bagi pihak Anmol,” katanya.