Skip to main
Logo Malaysiakini

Peminat teruja keberanian dialog 'PM pun kena penjara'

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Respon positif daripada dialog 'panas' yang dipaparkan trailer dalam filem terbaru arahan Syafiq Yusof, Sheriff: Narko Integriti memberi gambaran terhadap selera peminat filem, kata Zul Ariffin.

Bercerita mengenai filem berkenaan, Zul berkata pengarah terbabit dilihat berani kerana sanggup mengambil risiko dengan menampilkan dialog yang berbau politik.

Bahkan dia terkejut apabila dialog berkenaan diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem.

“Saya mula-mula fikir (pasal dialog panas): biar betul Syafiq ni…

“Tapi selepas menonton trailer, saya cakap: biar betul dialog ni boleh lepas. Saya fikir mungkin ada dalam trailer saja, dalam filem tak ada.

“Kemudian baca pula komen orang ramai, banyak yang beri reaksi tanda suka menjurus kepada dialog berkenaan.

“Inilah sebenarnya realiti terjadi dalam negara dan orang ramai tengok ia berani disuarakan,” katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan filem berkenaan di Kuala Lumpur malam tadi.

Zul ketika itu menjelaskan wataknya sebagai DSP Sheriff dalam filem yang mengetengahkan kisah berkisar mengenai isu dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam filem itu Zul dipaparkan sebagai watak utama dan melontarkan dialog "Ini Malaysia, perdana penteri pun dipenjara.”

Sheriff: Narko Integriti bakal menggegarkan pawagam seluruh negara dan Singapura mulai esok.

Syafiq yang dilabel sebagai 'raja plot twist' filem Malaysia menampilkan konsep baru yang jarang dipersembahkan dalam karya tempatan iaitu reverse whodunnit atau lebih dikenali sebagai howcatchem.

Ia sebuah yang menyaksikan penonton sudah tahu siapa watak jahat dalam sesebuah filem namun plotnya berkembang dengan memaparkan cerita bagaimana dia dapat ditangkap.

Bukan baik sangat

Melalui semakan di saluran YouTube AstroShaw, rata-rata orang memuji dialog tersebut yang dianggap mencerminkam realiti dalam negara.

Selain Zul, pelakon lain yang menjayakan filem tersebut ialah Syafiq Kyle, Aaron Aziz, Azira Shafinaz, Elizabeth Tan, Sharuddin Tamby, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Hazama dan Azri Iskandar.

Menurut Zul, 37, sebenarnya Syafiq membuat persediaan jika ditakdirkan dialog berkenaan dipotong atau ditapis semasa ia disemak Bahagian Komunikasi PDRM di Bukit Aman.

Misalnya Syafiq menyiapkan adegan lain untuk menggantikan dialog tersebut jika ia tidak dibenarkan.

“Tapi semuanya diluluskan," katanya.

Diminta mengulas mengenai rujukan yang dibuat bagi menjayakan watak utama itu, Zul berkata, katakter tersebut tidaklah sesukar mana untuk dihidupkan.

Menurutnya, mudah untuk membawa watak seorang sarkastik terutama apabila diminta pengarah untuk memenuhi tuntutan dan kesesuaian skrip.

“Tak ada rujukan. Perangai macam setan bukan susah sangat nak buat, saya pun bukannya baik sangat.

“Saya tidak suka watak gangster sebab ia nampak trying so hard, tapi kalau sekadar bersahaja jadi sarkastik, semua orang pun boleh relate (kaitkan).

“Selagi percakapan polis itu tidak terlalu menghina, tak apa.

“Jadi polis tak boleh nak terlalu sopan terutama kalau nak cungkil maklumat atau memprovokasi suspek,” katanya.