Skip to main
Logo Malaysiakini

De Fam sasar Alamak Raya Lagi ditonton lebih 20 juta kali

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

Menjadi fenomena hingga ke Korea Selatan dan Jepun, kumpulan De Fam terharu apabila single Aidilfitri mereka, Alamak Raya Lagi, mendapat sambutan positif begitu meluas.

Mana tidaknya, dalam tempoh singkat lagu itu meledak selepas cabaran tarian Alamak Raya Lagi memenuhi ruang platform media sosial.

Justeru, salah seorang anggota kumpulan De Fam, Azira Shafinaz berterima kasih kepada pendengar yang menyukai lagu raya pertama mereka itu.

“Kami terkejut kerana kami tidak buat penggalak (boost) lagi di media sosial. Jadi, hebahan Alamak Raya Lagi berlaku secara semula jadi melalui perkongsian demi perkongsian.

“Sudah tentu kami terkejut apabila lagi itu boleh tular hingga ke Jepun, malah cabaran tarian pula dibuat oleh kumpulan wanita K-Pop. Kami betul-betul terharu dengan penerimaan positif ini,” katanya.

Pun begitu, dia mengakui masih terdapat maklum balas negatif apabila segelintir pihak berpendapat Alamak Raya Lagi ibarat membawa aura tidak baik dengan penggunaan perkataan alamak itu.

Azira, 32, menjelaskan lagu berkenaan sepatutnya diterbitkan tahun lalu kerana mengambil inspirasi sempena perayaan ‘raya terkejut’ yang berlaku namun atas sebab beberapa masalah, ia terpaksa ditangguhkan.

Alamak Raya Lagi sebaliknya hanya dapat dilancarkan tahun ini.

“Saya faham perkataan alamak itu timbulkan pertikaian kerana orang jadi salah tafsir dengan lagu ini. Sebenarnya alamak bukan bermaksud tidak seronok beraya.

“Kalau diamati lirik lagu tersebut, kebanyakan situasi sama seperti malam raya terkejut beberapa tahun lalu. Harapan kami, pendengar boleh dengar lagu raya yang santai,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem terbaru lakonannya, Sheriff: Narko Integriti di Kuala Lumpur kelmarin.

Alamak Raya Lagi menggambarkan suasana kecoh menjelang Aidilfitri yang diinspirasi daripada raya terkejut pada 2022.

Ketika itu, persiapan raya terpaksa dilakukan dalam waktu yang singkat.

Setakat petang ini semakan Malaysiakini mendapati Alamak Raya Lagi sudah meraih lebih 16 juta tontonan di YouTube.

Untuk rekod, selain Azira, De Fam turut dianggotai oleh Cik Manggis dan Sophia Liana.

Sekiranya lagu itu meraih lebih 20 juta tontonan, kata Azira, ada khabar berita gembira buat peminat De Fam.

“De Fam rancang nak buat rumah terbuka kalau lagu itu dapat lebih 20 juta tontonan. Doakan ia jadi kenyataan,” katanya.