Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak pandai 'main harga', Radhi dipandang sambil lewa

Artikel ini sudah 6 bulan diterbitkan

Jika ditanya di mana silapnya dia sehingga menerima bayaran tidak setimpal, artis versatil Radhi Khalid hanya mampu ‘menyalahkan’ diri sendiri.

Katanya, dia terkilan kerana sering meletak kepercayaan penuh atas penilaian seseorang penerbit.

Akibatnya, kata Radhi, mereka mengambil kesempatan membayar titik peluhnya dengan harga yang jauh lebih murah daripada sepatutnya.

“Memang kecewa, sejak dulu orang (penerbit) tidak pandai hargai. Kita sudah dapat anugerah, boleh bawa 10 jenis watak, disiplin pun orang puji, tapi bayar pelakon wanita lebih tinggi.

“Nak suruh berlakon filem cakap bahasa Melayu atau orang putih, menyanyi, menari insya-Allah saya boleh bawa kalau diberi tugas itu, tapi masih bayar ding-dong, ding-dong.

“Jadi, silap sayalah agaknya, sebab saya tidak pernah nak demand. Itu sebab mereka bayar pun sambil lewa,” katanya.

Ditanya alasannya berbuat demikian, Radhi, 60, yang terkenal dengan watak pemuda Bangladesh, Abdulla, dalam drama Spanar Jaya, berkata ia disebabkan dia percaya soal rezeki ditentukan Allah.

Janji berlaku adil

Menurutnya, sekiranya muncul tawaran untuk dia berlakon, itu bermaksud ada pihak yang menghargai bakatnya.

“Memang sejak awal saya tidak letakkan harga walaupun pernah popular satu ketika dulu.

"Saya fikir itu rezeki, jika dipanggil (bekerja) bermaksud mereka hargai.

“Ada juga situasi yang saya fikir penerbit itu macam tidak mungkin boleh bayar lebih,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Radhi mendedahkan, dulu dia pernah ditawar peranan utama di samping seorang pelakon wanita namun bayaran yang diterimanya jauh lebih rendah berbanding tempoh bekerja yang perlu dilunaskan.

“Mungkin sebab dia lebih popular daripada saya. Saya pegang watak utama yang lebih banyak masa, babak dan jam bekerja.

“Seingat saya dia dibayar tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi daripada saya sebab dia boleh 'hello penerbit'. Mungkin juga dia lebih pandai berurus niaga daripada saya,” katanya.

Sebaliknya, Radhi yang juga penerbit itu berjanji hal sedemikian tidak akan berlaku di bawah produksi yang dikendalikannya.

“Saya pernah juga bekerja sebagai pengurus produksi, jadi saya kaji semua itu.

“Insya-Allah saya akan berlaku seadil boleh kepada pelakon selagi peruntukan ada. Tapi, tidak semua orang begitu,” katanya.