Skip to main
Logo Malaysiakini

Caruman Perkeso prasyarat lulus sijil perakuan penggambaran

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas kru dan tenaga kreatif yang terbabit dalam kerja produksi akan menjadi prasyarat dalam permohonan sijil perakuan penggambaran (SPP), berkuatkuasa serta-merta.

Sim berkata langkah proaktif melalui kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu dianggap tepat berikutan penggiat industri perfileman juga berdepan risiko bencana kerja.

"Finas bersetuju menggariskan prasyarat daftar dan mencarum Perkeso bagi semua penggiat seni perfileman berikutan kebanyakan penggiat seni bekerja berdasarkan projek tanpa mengira waktu hingga meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja.

"Melalui pemeteraian perjanjian persefahaman (MOU) antara Perkeso bersama Kementerian Komunikasi menerusi Finas, ia berupaya menambah baik kebajikan serta melindungi semua penggiat di bawah industri kesenian terutama perfileman untuk mendapatkan perlindungan Perkeso.

"Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) menerusi Perkeso juga berharap agar penggiat seni lain seperti piecemeal, stringer, penerbit rancangan, penyanyi dan pempengaruh serta persatuan industri seni kreatif di bawah sektor kesenian turut mencarum Perkeso.

"Ini dapat menjamin keselamatan sosial pekerjaan mereka," katanya di majlis menandatangani MOU antara Perkeso dan Finas di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas lanjut, Sim menyifatkan pendaftaran dan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) berperanan sebagai penampan terbaik terhadap sebarang kesan luar jangka yang berupaya merencatkan penggiat sektor berkenaan dengan sumbangan kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam perkembangan berkaitan, Sim turut mengumumkan inisiatif baru di bawah SKSPS iaitu bantuan khairat kematian (BKK) berjumlah RM1,000 untuk menampung kos pengebumian pencarum SKSPS berkuat kuasa 1 Mac lalu bagi kematian yang berlaku sepanjang tahun ini, meliputi 20 sektor di bawah skim berkenaan.

Katanya ia antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kesuma menerusi Perkeso dengan BKK disalurkan kepada orang tanggungan atau waris orang berinsurans yang meninggal dunia tanpa kaitan dengan pekerjaan tetapi pencarum aktif serta memiliki sekurang-kurangnya 12 bulan caruman pada masa kematian.

Seramai 3,120 individu dari sektor kesenian di Malaysia dikategorikan pencarum aktif SKSPS setakat 12 April lalu.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pemeteraian MOU hari ini melambangkan komitmen kerajaan untuk terus membela dan meningkatkan taraf kehidupan para penggiat seni tanah air.

“Golongan seniman sering berdepan cabaran dalam kerjaya mereka. Ada yang menghadapi ketidakstabilan pendapatan, tiada manfaat sosial seperti pelan persaraan dan faedah kesihatan, selain kurangnya jaminan kerja yang stabil.

“Tanpa struktur sokongan yang kukuh, kebajikan serta kesejahteraan mereka sering terabai.

"Menyedari senario ini, Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kesuma mengambil inisiatif untuk memastikan pelaksanaan program ini.

“Memorandum yang bakal ditandatangani jelas membuktikan iltizam kerajaan mengambil berat terhadap perkara-perkara berkaitan kebajikan pekerja dalam industri kreatif.

"Sesungguhnya industri ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.