Skip to main
Logo Malaysiakini

Perlindungan kepada penggiat seni harus berterusan - Gafema

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Gabungan Persatuan Perfileman Malaysia (Gafema) menyarankan Kementerian Komunikasi memberi taklimat terperinci berhubung cadangan jaringan keselamatan sosial kepada penggiat seni bagi memastikan ia tidak tersasar daripada tujuan asal yang dicadangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Presidennya, Pansha berkata, inisiatif itu bukan hanya untuk tahun pertama dan 4,500 penggiat seni malah untuk keseluruhan penggiat seni yang terlibat dalam industri kreatif.

“Finas dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) perlu memperhalusi cadangan itu sebelum dilaksanakan agar mempunyai kesinambungan pada masa akan datang.

“Kefahaman caruman Perkeso menjadi prasyarat wajib melalui kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) hanya melibatkan penggiat seni yang terlibat dengan penggambaran sahaja.

“Sedangkan ada kategori lain yang perlu dilindungi dan industri juga memerlukan satu Pangkalan Data Setempat Industri sebagai tempat rujukan secara dalam talian bagi kemudahan rujukan Finas, penerbit atau penggiat seni menyemak tarikh luput tahunan caruman Perkeso penggiat seni pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan semalam mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM104,850 bagi penggiat seni mencarum dalam Program Kerjasama Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, melalui inisiatif tersebut, 90 peratus caruman Perkeso untuk penggiat seni ditanggung oleh kerajaan, manakala baki 10 peratus lagi ditanggung oleh Finas.

Pansha berkata, penjelasan terperinci serta perbincangan lanjut perlu diadakan antara Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama pemegang taruh industri agar pelaksanaannya tidak membebankan pihak penerbit selaku majikan kepada industri dan penguat kuasa melalui SPP.

“Gafema yakin dan percaya, sekiranya perkara ini dapat dilaksanakan kepada semua penggiat seni dengan kerjasama persatuan-persatuan di bawah Gafema, ini akan memberi fokus yang lebih strategik, teratur dan tersusun selain memberi kesan positif memperkasakan kebajikan serta merangsang pertumbuhan industri kreatif dalam negara,” katanya.