Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang 'terpaling polis' cabaran utama PDRM banteras penipu

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Usaha untuk memupuk kesedaran bagi mengekang jenayah penipuan (scam) daripada berleluasa mungkin sukar seandainya masih ada segelintir pihak sering berasakan diri mereka sentiasa betul serta tidak boleh ditegur.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sentul yang juga Duta Anti Scam Polis Diraja Malaysia (PDRM) ASP Rahmat Fitri berkata, cabaran utama didepani pihak berkuasa ialah golongan yang tidak suka mendengar nasihat.

Bahkan kata Rahmat, dia boleh membuktikan memang ada golongan sedemikian seperti yang terpapar pada akaun TikToknya.

“Apabila kita sampaikan mesej, mereka pula yang 'terpaling polis' (berasakan diri mereka betul dan lebih tahu daripada pihak berkuasa), dan kita pula yang dinasihatkannya balik,” katanya.

Rahmat berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap kebimbangan berhubung jenayah penipuan yang dilihat seperti tidak berkesudahan.

Rahmat

Kata Rahmat, masyarakat sewajarnya meningkatkan kesedaran ke tahap lebih tinggi berkaitan taktik penjenayah bagi mengelak mereka terpedaya dan menjadi mangsa.

“Bukan jenayah scam berada di tahap membimbangkan sebaliknya yang berada di tahap membimbangkan adalah kesedaran orang ramai mengenai betapa liciknya scammer melakukan jenayah.

“Justeru, cara paling baik untuk mengekang kita daripada terkena scam ialah tahap kesedaran diri sendiri.

“Contohnya love scam, kita yang di depan mata pun susah nak dapat hadiah, takkanlah kamu sanggup salurkan wang ke akaun orang yang baru kamu kenali dalam talian?

"Ini semua sepatutnya boleh fikir dengan logik akal,” katanya selepas majlis pratonton filem Oppa di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya kelmarin.

Ingatan melalui filem

Melalui filem tersebut, syarikat Dream Film bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bagi memupuk kesedaran berhubung jenayah love scam.

Oppa membabitkan kerjasama 80 anggota PDRM yang melakonkan aksi berdepan sindiket penipuan dan diadaptasi daripada kisah benar.

Filem arahan Choon Ling Loong atau Captain Denil itu berkisahkan seorang guru sekolah rendah yang mendambakan cinta seorang jejaka idamannya di dunia maya.

Namun, tanpa disedari, guru terbbabit akhirnya terpedaya dengan sindiket love scam hingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit.

Oppa yang menelan kos hampir RM2 juta bukan saja menghimpunkan pelakon daripada pelbagai kaum bahkan turut mengetengahkan pelakon dari Korea Selatan, TaeOh Jang.

Filem itu dijangka menemui penonton di lebih 50 pawagam tempatan mulai 9 Mei ini.

Mengulas pembabitan sulungnya di layar perak, Rahmat berkata, dia yang bertindak atas arahan ketuanya itu mahu menyampaikan peringatan terhadap taktik penjenayah.

Menurutnya, selain menasihatkan orang ramai melalui platform TikTok, filem juga antara medium yang sesuai untuk menyampaikan sesuatu mesej.

“Kalau saya tanya, ramai masih yang tidak tahu mengenai kewujudan Pusat Response Scam Kebangsaan, tapi saya tidak salahkan mereka.

“Saya selalu teringat iklan (produk sabun pencuci pakaian) Trojan sebab sewaktu kecil, iklan itu kerap muncul di televisyen.

“Jadi, kita perlukan ‘peringatan’ seperti filem Oppa untuk banteras jenayah scam,” katanya.