Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Penipuan, manipulasi menonton filem

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

ULASAN SENI | Sebetulnya filem memiliki suatu kitaran yang luas lagi meluas. Bermula dari proses pengeluaran, sesebuah filem kemudian bergerak kepada kerja-kerja pengedaran yang seterusnya pergi ke peringkat pameran.

Kitaran itu tidak terhenti hanya di situ apabila ia akan bersambung ke peringkat apresiasi, kritikan dan penghargaan sebelum ia kembali semula ke proses penghasilan.

Aspek atau elemen paling penting dalam filem yang jarang diperdebatkan dengan ketepatan pemerhatian kajian tentu sekali tentang keberadaan penonton dalam kitaran berkenaan.

Memang agak membosankan apabila faktor penonton sering hanya dilihat daripada aspek bilangan tiket yang dijual serta e-poster dengan kapsyen “kutipan lebih RM6 juta dalam dua hari tayangan."

Penonton hanya carta, graf dan statistik yang akan terus menerus menjadi nombor yang selalu terdedah kepada pelbagai manipulasi tanpa memperlihatkan wajah sebenar selera seni.

Pemikiran dan pengetahuan, mahupun kerendahan dan ketinggian akal mereka menilai sesebuah keburukan dan keindahan filem jarang dapat kita dengar selain daripada testimoni murahan demi memenuhi tuntutan pemasaran.

Andrei Tarkovsky yang pernah menghasilkan beberapa filem bertaraf mahakarya seperti Andrei Rublev, Mirror, Stalker dan Nostalghia pernah berkata: “Sinema adalah seni yang tidak memberikan kenikmatan lagi apabila ia sangat bergantung kepada wang. Filem bukan saja terlalu mahal, bahkan ia juga dijual dan dipasarkan sama seperti rokok dan barang-barang lain. Sesebuah filem hanya dianggap baik seandainya ia laris terjual di pasaran. Sekiranya sinema itu dianggap seni, dalil sebegini tentulah sesuatu yang tidak dapat diterima akal: kerana ia bermaksud seni itu bagus hanya jika ia laku keras terjual di pasaran. Saya tidak pernah merungut kerana hal sebegini sangat saya fahami. Saya juga tidak menuntut apa-apa istilah khusus buat filem-filem yang saya hasilkan kerana terma-terma khusus sebegitu memang tidak pernah wujud.

"Filem-filem puitis bukanlah dihasilkan untuk khalayak penonton biasa yang ramai. Sesetengah filem yang ditonton oleh berjuta-juta orang, yang berlaku pada awal era filem senyap, terjadi apabila setiap filem baru mampu menjentik naluri ingin tahu orang ramai. Kini agak sukar untuk sesebuah filem itu memberikan kejutan kepada penonton dan filem yang bagus tidak lagi ditonton oleh ramai orang.”

Proses mencari diri

Tarkovsky memberikan kenyataan itu pada 1983 dalam filem dokumentari berjudul Andrei Tarkovsky: A Poet In The Cinema arahan Donatella Baglivo.

Ada terlalu banyak wacana berkaitan ini yang boleh dicerap dan ditelusuri. Akan tetapi mungkin Tarkovsky saja yang selayaknya didengari kerana dia salah seorang wali dalam dunia perfileman, yang menghasilkan filem-filem agung yang puitis dan pada masa sama sangat mengetahui realiti dunia filem dan hakikat penonton.

Apakah penonton kita tahu bahawa seni itu sangat terkait dengan kehidupan dan kematian?

Kalau aliran sufi ada tarian yang dapat membawa diri masuk ke ruang peribadi hingga 'mempertemukan' mereka dengan Pencipta, seni - seperti lukisan, lagu serta filem - menjadi ruang rohani peribadi yang membawa kita kepada suatu kuasa seperti pencipta.

Filem jadi wadah spiritual yang dapat menebalkan makna seseorang merasa serta mengenal erti hidup apabila ia memperkayakan rohani.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa seni filem adalah salah satu jalan untuk sampai kepada pencarian spiritual manusia mencari diri sendiri seterusnya makna jadi makhluk bertuhan.

Gambar hiasan

Seni yang puitis, indah dan halus berupaya membantu manusia dalam proses ini kerana duduk diam menonton filem tidak seperti kebanyakan aktiviti intelektual atau kegiatan sosial yang lain.

Pengalaman menonton filem yang baik tidak seperti mendapat ilmu di dalam kuliah-kuliah institusi - seperti universiti - yang sering buat manusia menjadi sombong.

Ilmu dan pengetahuan yang dipelajari akan memberikan solusi. Seni akan memberi refleksi tentang bahawa sebenarnya ilmu yang kita ada hanyalah objek sangat kecil dalam ruangan sangat besar untuk kita gapai.

Dengan seni keupayaan rohani penonton bukan saja dicabar bahkan diperkayakan sebelum dia mempersoalkan keupayaan dirinya sendiri.

Dalam cengkaman kapitalis

Tidak munasabah untuk kita meneruskan kesakitan yang cuba Tarkovsky cuba perjelas dan gambarkan.

Ini kerana Susan Sontag pernah memanjangkan lagi apa yang Tarkovsky perkatakan di dalam tulisannya mengenai ‘keruntuhan pawagam’ dalam New York Times pada 1996.

Susan bukannya tidak mencintai filem dan sinema. Seperti Tarkovsky, dia tahu tentang kebenaran hakikat dunia sinema yang melelahkan.

Kita boleh jadi tidak akan dapat menonton lagi filem-filem hebat yang indah dan puitis seperti pernah dihasilkan oleh Tarkovsky, Ingmar Bergman, Akira Kurosawa, Yasujiro Ozu dan Satyajit Ray.

Kita pasti akan terus ternanti-nanti.

Dalam konteks kita di Malaysia, secara peribadi aku sangat mengharapkan U-Wei Haji Saari atau Wan Azli Wan Jusoh dapat diberikan kembali ruang mengarahkan filem baru.

Atau paling tidak nama seperti Abro Rivai - yang pernah menghasilkan Karya - diberikan peluang untuk berkarya setelah bertahun-tahun dipersiakan dunia sinema negara ini.

Hanya orang-orang seperti mereka dapat menjadi karyawan berani melanggar cengkaman kapitalis yang merosakkan pembikinan filem.

Hari ini ada pengkarya sendiri yang megah menghasilkan filem semata-mata untuk tujuan hiburan (komersil) tanpa menyedari ia sebenarnya membuat seni filem kian melemah.

Kesan seterusnya ialah filem tidak lagi berdaya hingga dipandang sinis oleh penonton yang dimanipulasi sepenuhnya oleh kapitalis-kapitalis dunia senima kita.


HARIS HAUZAH ialah penonton yang selalu tidak pernah dapat menonton apa yang dia mahu tonton.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.