Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembunuhan bekas peserta ratu cantik terdedah

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Detik-detik terakhir hidup bekas peserta pertandingan ratu cantik Ecuador disaksikan orang ramai ekoran beredarnya rakaman video dari kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah restoran baru-baru ini.

Sebelum menjadi sasaran penembak, Landy Parraga Goyburo dilihat berdiri sambil berbual dengan seorang lelaki di sebelahnya. Ketika itu mereka berada dalam sebuah restoran.

Kemudian datang satu individu yang menyerbu ke arah mereka memaksa Landy tunduk manakala lelaki yang bersamanya berlindung di sebelah.

Penyerang bertopeng terbabit kemudian melepaskan tembakan ke arah Landy, 23, dan lelaki berkenaan.

Bekas peserta kecantikan itu kelihatan ditembak beberapa kali sebelum penjenayah melarikan diri dari tempat kejadian.

Menurut laporan The Sun, imej menunjukkan mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

Polis sedang menyiasat pembunuhan itu dan mengenal pasti penyerang.

Landy ialah bekas peserta Miss Ecuador yang mewakili wilayah Los Ríos pada 2022. Dia mempunyai lebih daripada sejuta pengikut di pelbagai akaun media sosialnya.

Pada Dis 2023, nama Landy disebut dalam perbualan oleh individu yang didedahkan oleh Pejabat Peguam Negara mempunyai kaitan dengan jenayah terancang.

Seorang daripada 52 individu yang didakwa dalam kes itu ialah Helive Angulo.

Dalam perbualan itu, Angulo - yang menguruskan aset raja dadah, Leandro Norero - memberitahu bahawa polis bertanya mengenai Landy.

Norero secara samar menulis: “Jika isteri saya mengetahui apa-apa mengenainya, habislah. Kawan, namanya tidak boleh muncul di mana-mana. Jika tidak, dunia aku akan hancur,” katanya.

Raja dadah itu sudah mati akibat dibunuh di penjara pada 2022 iaitu hanya enam bulan selepas dia dijel.