Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengalaman David Teo disihir cetus idea Jangan Pandang Belakang 2

Artikel ini sudah 3 bulan diterbitkan

David Teo mendedahkan ilham untuk menghasilkan filem seram Jangan Pandang Belakang dan sekuel naskhah itu sebenarnya dicetuskan daripada pengalaman yang berlaku di sekelilingnya.

Kata Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG) itu, jika idea pertama untuk Jangan Pandang Belakang datang daripada Pierre Andre, sekuelnya pula berdasarkan pengalaman dia sendiri menjadi mangsa sihir.

Menurut David, kejadian berlaku seminggu selepas pengebumian bapanya di Segamat pada 2018 dengan simptom bermula daripada pening kepala, tidak boleh tidur serta tekanan darahnya sentiasa naik pada paras berbahaya antara senja hingga ke subuh.

“Idea tambahan untuk bahagian 2 (Jangan Pandang Belakang 2) berbeza sebab datang daripada kisah saya disihir.

“Pada mulanya saya ingat hanya terkena serangan darah tinggi. Bacaan tekanan darah pula boleh sebabkan kena strok.

“Namun, saya anggap sakit sebab usia meningkat. Tapi apabila berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, dia mengesahkan saya tiada penyakit darah tinggi,” katanya.

Menurut David, walaupun pernah menerbitkan banyak filem seram seperti Santau, Mantra, Saka dan Nasi Kangkang, namun kejadian disihir yang berlaku pada diri sendiri tidak mudah disedarinya.

Katanya, perkara yang berlaku mengakibatkan dia melalui banyak perubahan negatif.

“Saya jadi tidak suka berniaga, tak fikir pasal duit, sampai pejabat nak cepat balik, waktu panas terik, saya pakai baju tebal sesuai untuk musim sejuk, boleh telan lapan biji telur separuh masak sedangkan sebenarnya tak lalu makan begitu selain fikir negatif hari-hari mahu mati.

“Perkara ini disedari oleh seorang pegawai kanan yang kemudian merujuk nama ibu saya kepada seorang pengamal perubatan. Dari situlah saya ketahui bahawa sudah kena gangguan sihir,” katanya.

David berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Riang Ria Raya Jangan Pandang Belakang 2 di sebuah hotel di Bukit Jalil baru-baru ini.

Menurutnya, dia menderita gangguan sihir kira-kira sebulan sebelum pulih sepenuhnya selepas melakukan rawatan secara alternatif dengan seorang ustaz.

Untuk rekod, Pierre menjadi penulis skrip untuk Jangan Pandang Belakang pada 2007. Dia kemudian diberikan kepercayaan untuk menjadi pengarah sekuel kepada filem itu bagi menggantikan Ahmad Idham yang melepaskan jawatan itu secara suka rela.

Asalnya berjuduh Hantu

Berkongsi mengenai pengalaman Pierre pula, David berkata, ada kisah seram di sebalik idea yang mencetuskan judul Jangan Pandang Belakang.

Menurutnya, kisah itu bermula selepas dia dan Pierre yang baru selesai menjalani penggambaran filem Main Main Cinta melalui sebuah jalan dalam dari Kajang untuk pulang ke Balakong.

“Kami berbual untuk idea filem seterusnya, tapi dia tiba-tiba senyap tidak mahu jawab. Apabila sudah sampai, saya bertanya padanya apa yang berlaku, lalu dia jawab nampak hantu di pokok.

“Saya katakan padanya: kenapa tidak hasilkan satu filem hantu berdasarkan apa yang kamu lihat. Tidak berapa lama selepas itu, dia datang berjumpa saya dan bawa skrip bertajuk Hantu, ” katanya.

Namun, menurut David, selepas dikaji, dia berpendapat tajuk berkenaan tidak dapat menarik perhatian orang ramai, justeru meminta Pierre kembali dengan idea yang lebih menarik.

“Sebulan kemudian, ketika makan di kantin Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan), dia nampak sesuatu di belakang kawannya tapi dia cakap: jangan pandang belakang.

“Dari situ, kami dapat idea untuk tajuk filem.

“Ayat ini untuk memberi bayangan ada hantu tapi tidak kita mahu bercakap secara langsung bahawa hantu ada di situ,” katanya.