Skip to main
Logo Malaysiakini

KamiSempoi elak lahirkan pengendali siaran langsung bersifat pengemis

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Syarikat lokal TikTok terbesar, KamiSempoi International Agency (KSIA) komited melahirkan pengendali siaran langsung yang boleh menghasilkan kandungan bermanfaat serta bukan bersifat mengemis.

Pengasasnya, To Chin Swee atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee berkata, ia sejajar dengan kejayaan agensi berkenaan meraih Pengiktirafan No.1 Platinum Agency di Malaysia serta Top 5 TikTok Agency di Asia Tenggara baru-baru ini.

“Kenapa kita sangat tekankan kandungan hiburan yang menarik dan bermanfaat? Kalau kita tengok TikTok sejak kebelakangan ini, kita dapat lihat ada pempengaruh atau Tiktokers yang menghasilkan kandungan bersifat mengemis.

“Kalau boleh kita mahu elakkan pengendali siaran TikTok kita daripada membuat kandungan sebegini.

“Jadi, kita selalu bimbing serta membantu mereka memahami garis panduan yang sudah ditetapkan TikTok kerana garis panduan komuniti TikTok teramatlah ketat. Nak kena ban memang cukup senang,” katanya.

Mengakui pihaknya berbangga dengan kejayaan yang diraih dalam tempoh singkat itu, Chin Swee berkata, usahanya akan dipergiat dengan membantu mereka yang ingin menjadi pempengaruh serta menjana pendapatan sebagai pengendali siaran langsung TikTok secara percuma.

Katanya, yang bezakan KSIA dengan agensi-agensi yang lain adalah mereka tidak putus-putus mengadakan latihan kepada pengendali siaran langsung TikTok sama ada yang bernaung terus di bawah KSIA sendiri atau sub agensi mereka.

“Kita sediakan latihan ini secara percuma. Ada latihan yang KSIA sediakan dan ada pula yang disediakan oleh sub-agensi kami. Banyak ilmu mereka boleh mereka perolehi daripada sesi latihan ini.

“Kami mahu mengasah bakat TikToker mencipta kandungan dan bagaimana mereka boleh melibatkan diri dengan pengikut supaya bertambah ramai malah pada masa sama jadikan TikTok sebagai satu sumber pendapatan yang lumayan,” katanya pada Sidang Media KamiSempoi Golden Award 2024 di Bukit Jalil baru-baru ini.

Pada majlis sama, KSIA turut mengumumkan pelantikan aktor Riezman Khuzaimi sebagai duta agensi itu.

Untuk rekod, syarikat agensi TikTok itu berjaya meluaskan empayar mereka di Singapura dan Indonesia dengan memiliki 1,300 pengendali rancangan TikTok di Malaysia, 100 pengendali rancangan TikTok (Singapura) dan 550 pengendali rancangan TikTok (Indonesia) serta dinaungi 21 sub-agensi.

Agensi itu turut menganjurkan KamiSempoi Golden Award 2023 untuk memberikan pengiktirafan kepada pengendali siaran langsung TikTok dan sub-agensi mereka yang selama ini membantu menaikkan nama serta kedudukan KSIA.

Selain Riezman yang dikenali sebagai Abang Don, KSIA juga menaungi lebih 30 orang selebriti sebagai pengendali siaran langsung TikTok lain seperti pelakon Nita Hamzah, Eizlan Yusof, Dynas Mokhtar, Nadia Musthapa serta Achong Sweetchild.

Lebih membanggakan, kata Chin Swee, pengendali siaran langsung mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan lapisan usia bukan setakat selebriti malah merangkumi golongan profesional, usahawan, pelajar, suri rumahtangga serta golongan Orang Kurang Upaya.

Katanya, ada pengendali siaran langsung mereka melakukan tugas itu secara sambilan malah ada juga yang menjadikan ia sebagai kerjaya sepenuh masa.

“Ada yang bermula sebagai pengendali siaran langsung secara sambilan tapi kemudian meninggalkan kerjaya profesional mereka dan menjadi host live sepenuh masa,” katanya mengenai sumber pendapatan yang boleh mencecah hingga enam angka itu.