Skip to main
Logo Malaysiakini

Anna Jobling tak kisah berulang-alik Malaysia, Indonesia

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pelakon Anna Jobling mengakui dia tidak keberatan untuk berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia dan sebaliknya demi mengembangkan karier seni.

Bagi anak kacukan Malaysia - United Kingdom itu, peluang yang muncul tidak harus dilepaskan kerana menyedari tawaran melabarkan sayap ke negara jiran itu bukanlah sesuatu yang mudah diperolehi.

“Ya, saya sanggup berulang-alik ke Indonesia. Saya perlu bekerja keras untuk dapatkan tawaran kerja di sana sebab saya tahu nak dapatkan tawaran rezeki di situ memang susah gila.

“Saya rasa pelakon Malaysia yang nak dapat tawaran berlakon di sana juga mungkin sesukar ini,” katanya.

Menurut Anna, 23, proses itu adalah yang terbaik boleh dilakukannya tanpa meninggalkan kerjayanya di tanah air.

Kata pelakon Syurga Itu Bukan Mudah, hal tersebut kerana dia masih sayangkan kariernya yang bermula di negara ini.

“Memang dapat banyak tawaran di sana ketika ini. Jadi apa saya boleh buat adalah teruskan rutin ulang-alik itu.

“Tapi sudah pasti ia diseimbangkan dengan susunan jadual yang terancang,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Gema Lebaran Anna Jobling di Cyberjaya, baru-baru ini.

Majlis itu dihadiri lebih 200 peminat Anna termasuk dari Perak, Perlis, Johor Bahru dan Singapura.

Bagaimanapun, Anna berkata, dia tidak dapat mengesahkan sama ada perlu berhijrah ke Indonesia atau kekal dengan rutin sekarang berikutan tawaran yang semakin mencurah-curah dari negara tersebut.

“Saya tidak berani nak jawab soal berhijrah. Jika di sini, semuanya stabil dan konsisten.

“Saya pula tidak bernaung di bawah mana-mana agensi jadi semuanya perlu bermula dari bawah,” katanya.