Skip to main
Logo Malaysiakini

FDAM gesa ahli segera daftar SKSPS

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggalakkan semua ahli mereka menyertai Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secepat mungkin sebagai perlindungan.

Pengerusi FDAM, Afdlin Shauki ,berkata risiko mendapat kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa termasuk semasa mereka berada di set penggambaran

“Apabila setiap ahli menyertai SKSPS, ia sekurang-kurangnya dapat menampung sebarang kesulitan yang mungkin berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Media hari ini melaporkan Perkeso sudah melunaskan bayaran tuntutan SKSPS berjumlah hampir RM5 juta untuk tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata bayaran membabitkan faedah dinikmati oleh individu yang bekerja di pelbagai sektor dan mencarum dalam SKSPS.

Menurutnya, setakat ini terdapat 500,000 individu yang bekerja sendiri mencarum dalam SKSPS dan disasarkan meningkat kepada satu juta pencarum akhir tahun ini.

Menurut Afdlin, FDAM menyambut baik usaha kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersama Perkeso yang menawarkan SKSPS kepada penggiat seni termasuk ahli FDAM.

Katanya, atas perbincangan dan kerjasama Finas dengan Perkeso, SKSPS sudah tentu memberi banyak manfaat kepada ahli FDAM yang sebelum ini tidak pernah membuat caruman mahupun mempunyai insurans peribadi.

“Seperti kita tahu, kebanyakan penggiat seni tidak mempunyai pendapatan tetap, ada yang mampu dan tidak mampu untuk mendapatkan insurans perlindungan diri sendiri.

“Apa yang menarik, SKSPS yang ditawarkan kali ini merupakan skim perlindungan insurans termurah untuk ahli FDAM sendiri mengambil peluang mencarum,” katanya.

Pada masa sama Afdlin berkata, FDAM berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi, Finas dan Perkeso kerana menyediakan kuota sebanyak 4,500 untuk golongan penggiat seni membuat caruman SKSPS.

“Ini juga menjadi peluang keemasan buat ahli FDAM kerana caruman yang ditawarkan akan dibiayai Finas bagi tempoh setahun,” katanya.