Skip to main
Logo Malaysiakini

Mak Mah terkilan pada Jangan Pandang Belakang 2

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Meskipun menerima bayaran agak lumayan, pelakon veteran Ruminah Sidek mengakui dia tetap rasa tidak berpuas hati apabila wataknya hanya muncul untuk satu babak dalam filem seram Jangan Pandang Belakang 2.

Justeru, Ruminah yang lebih mesra disapa Mak Mah itu tertanya-tanya apa keperluan penerbit untuk memanggilnya berlakon jika watak yang diberikan dalam sekuel Jangan Pandang Belakang itu tidak signifikan kepada penonton.

“Nasib baiklah bagi gaji elok... RM6,000. Kalau tidak, aku tak datang (berlakon).

"Saya bukannya orang yang boleh dibeli dengan duit. Saya tidak bangga dengan (hanya muncul) satu babak.

“Kalau kerja tidak bagus, saya memang cakap tidak bagus. Saya berasa kecewa lepas baca skrip kerana sayangkan watak itu. Saya sampai fikir boleh (laku) ke filem ini?" katanya.

Bukan setakat itu, Mak Mah, 77, juga berpendapat dia tidak dapat melihat kesinambungan watak dengan jalan penceritaan yang ingin diketengahkan pada filem terbarunya.

Bagi aktres filem Langit Tidak Selalu Cerah itu, penulis skrip tidak berusaha memelihara atau menjaga kesinambungan filem berkenaan dengan baik.

Mak Mah bersama David Teo

“Saya memang tertanya-tanya di mana point (titik) kesinambungan filem yang mereka nak score itu kerana saya tak jumpa.

“Jika P Ramlee buat sambungan filem pasti ada kick. Jadi, saya harapkan penerbit boleh berfikir seperti saya kerana untuk hasilkan kesinambungan sesebuah filem, impaknya harus lebih besar daripada yang pertama.

“Sebab itu saya harapkan watak dan babak saya juga lebih besar. Dalam kepala Mak Mah, visinya macam itu, tapi rupa-rupanya pengarah pun sudah bertukar.

“Setiap manusia ada kekecewaan ada kesukaan. Kalau saya sendiri tidak puas hati, apatah lagi penonton,” katanya.

Tetap harap ditonton ramai

Mak Mah berkata demikian ketika ditemui pada majlis Ria Riang Raya Jangan Pandang Belakang 2 di sebuah hotel di Bukit Jalil baru-baru ini.

Untuk rekod, Pierre Andre yang pernah menulis skrip untuk Jangan Pandang Belakang kini dipilih sebagai pengarah kepada sekuel filem berkenaan. Asalnya penerbit memilih Ahmad Idham sebagai pengarah.

Sementara itu Penerbit Metrowealth International Group (MIG), David Teo, berkata dia mahu mengulangi gelombang fenomena Jangan Pandang Belakang yang dicetuskan 17 tahun lalu selepas filem itu berjaya meraih kutipan RM7.4 juta.

Selain Mak Mah, pelakon lain yang turut menjayakan filem itu ialah Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi dan Khatijah Tan.

Pierre Andre

Jangan Pandang Belakang 2 dijangka menemui penonton pada hujung tahun ini.

Walaupun meluahkan kekecewaan, Mak Mah berpendapat kenyatannya itu sekadar suntikan agar filem tempatan tanah air terus mendapat sokongan penonton.

“Hanya David tahu cara terbaik untuk melariskan filemnya.

"Pemilihan penulis skrip juga penting kalau nak hasilkan kesinambungan cerita yang bagus.

“Apa pun, kita tengoklah nanti sebab filem pun belum tayang,” katanya.