Skip to main
Logo Malaysiakini

Afdlin Shauki: Tak tenteram selagi dalang tak ditangkap

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Afdlin Shauki menggesa pihak berkuasa memburu dalang di sebalik serangan membabitkan pemain bola sepak kebangsaan serta mengenakan hukuman setimpal.

Pengarah dan pelakon itu berkata isu keselamatan pemain menjadi kebimbangan peminat tegar sukan berkenaan selagi pelakunya tidak ditangkap dengan segera.

“Kami mahukan closure (pengakhiran) terutama isu babitkan Faisal Halim. Kami sebagai rakyat Malaysia inginkan keadilan buat Faisal.

“Kami juga nak tahu kebenaran supaya ada sedikit ketenteraman. Siapa yang suruh budak (pelaku) itu buat dan beri dia balasan setimpal.

“Simbah asid bukan satu niat yang baik, ini sudah dirancang, sebab itu saya minta pihak polis cari siapa sebenarnya yang jadi dalang,” katanya.

Tegas Afdlin, insiden di tempat awam seperti itu tidak seharusnya menimpa mana-mana pemain.

“Orang ramai pun dah mulai takut, serangan ke atas Faisal boleh berlaku di kompleks beli-belah.

“Apakah Malaysia dah jadi mafia? Adakah ini kehidupan baru di Malaysia: kalau tidak puas hati, pukul.

“Itu baru babitkan pemain, macam mana pula keselamatan kita, orang ramai secara am,” katanya.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Ngesot di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur malam tadi.

Pada 5 Mei lalu, Faisal yang juga pemain Selangor FC melecur tahap empat akibat disimbah asid sulfurik oleh individu tidak dikenali.

Dua hari sebelum itu, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid mengalami kecederaan dan kerugian hampir RM5,000 selepas disamun dalam kejadian di Kuala Terengganu.

Perancang JDT, Safiq Rahim menjadi mangsa terbaru serangan keganasan bola sepak apabila cermin kenderaannya dipecahkan dalam kejadian malam tadi.

Bukit Aman hari ini bagaimanapun menolak dakwaan terdapat komplot antara ahli politik, polis dan samseng di sebalik serangan terhadap tiga pemain-pemain terbabit.

Untuk rekod, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baru Liga Malaysia dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu JDT dan Selangor FC, dua hari lagi.

Pada masa sama, Afdlin sempat berkongsi keperibadian Faisal yang disifatkannya seorang sangat merendah diri walaupun pernah menerima Anugerah Jaringan Terbaik Piala Asia 2023 ketika menentang Korea Selatan.

Justeru, katanya dia memohon orang ramai agar mendoakan kesembuhan buat pemain yang membuat kemunculan istimewa dalam filem Harimau Malaya: The Untold Journey arahannya itu.

“Faisal seorang yang sangat tenang, baik dan boleh berbual dengannya. Saya jumpa dia sewaktu dia baru balik daripada perlawanan di Korea Selatan.

“Dia berlakon satu babak untuk filem Harimau Malaya. Saya tertarik melihatnya dan saya sebab itu memandangnya dengan rasa hormat.

“Jadi apabila saya dengar apa yang berlaku kepada dia, saya jadi sedih sangat kerana orangnya baik dan rendah diri,” katanya.