Skip to main
Logo Malaysiakini

Awie terkilan karya sulung dibanding filem bajet besar

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Vokalis Wings yang kini bergelar pengarah, Awie berasakan tidak adil apabila ada segelintir pihak membandingkan karya sulungnya Rebel: Berontak Untuk Berotak dengan filem terbitan syarikat produksi gergasi yang berbajet besar.

Bagi Awie dia sudah sedaya upaya menghasilkan karya mengikut kesesuaian bajet justeru memohon mereka yang mengecam tidak membunuh semangatnya untuk terus berkarya.

“Saya tidak faham kenapa orang nak bandingkan Rebel dengan filem lain? Dari segi genre, jalan cerita dan bajet pun sangat berbeza.

“Rebel bukanlah filem bergenre aksi berat yang menelan belanja besar.

“Jadi, jangan bunuh semangat saya untuk terus berkarya kerana ini baru filem pertama sentuhan saya selaku pengarah,” katanya.

Awie menjelaskan sekiranya diberi peruntukan lebih besar dia mungkin boleh menghasilkan naskhah yang lebih bagus.

“Bajet filem Rebel sederhana berbanding filem lain yang memperuntukkan bajet berganda lebih besar.

“Saya mengarah filem ini mengikut peruntukan bajet, bukannya syok sendiri dan itulah hasilnya. Takkan saya nak buat dengan terlebih bajet pula?

“Kalau dapat bajet lebih besar, mungkin macam-macam benda saya boleh buat,” katanya.

Selain Awie, filem bergenre aksi terbitan Wau Productions Sdn Bhd dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd itu turut menampilkan pelakon seperti Ben Amir dan MK K-Clique selaku teraju utama.

Ia turut dibintangi Shiqin Kamal, Noralbaniah dan Azlan Komeng.

Rebel: Berontak Untuk Berotak berkisahkan perseteruan antara dua individu sejak kecil iaitu Luka yang dilakonkan Ben Amir dan Bono (MK K-Clique) meskipun berada dalam pertubuhan yang sama.

Bagaimanapun, Awie berkata semangatnya tidak terus rapuh selepas menerima maklum balas penonton Rebel: Berontak Untuk Berotak.

Katanya, dia akan terus mengarah walaupun jumlah kutipan yang diharapkan tidak mencapai sasaran dikehendaki.

“Saya akan terus mengarah walaupun Rebel dilaporkan sederhana kerana bagi saya itu adalah asam garam pembikinan filem.

“Maklumlah, saya sendiri sudah berlakon berpuluh-puluh filem dan ada filem lakonan berjaya dan sebaliknya.

“Itu adalah perkara biasa dalam pembikinan filem. Saya sudah rancang sesuatu untuk mengarah filem dengan syarikat sendiri pada masa akan datang,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!