Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelab Gemu KL batal persembahan DJ Korea ala sami

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Hasil pertimbangan teliti, Kelab Gemu KL terpaksa membatalkan acara membabitkan DJ dari Korea, New Jeans Nim di premis mereka demi kepentingan dan keharmonian sosial.

Dalam kenyataan dimuat naik di media sosial, Kelab Gemu KL berkata, keputusan itu adalah sesuatu yang sukar untuk dibuat.

“Kami dimaklumkan mengenai kebimbangan ramai berhubung persembahan akan datang yang bakal menampilkan New Jeans Nim.

“Kami komited untuk menyediakan pengalaman hiburan yang luar biasa serta memastikan acara masa depan di premis kami akan menegakkan nilai hormat, keterangkuman dan kesedaran budaya kita,” katanya.

Semalam, Presiden MCA, Wee Ka Siong menyokong gesaan Young Buddhist Association of Malaysia (YBAM) yang menyelar seorang DJ dari Korea daripada membuat persembahan di negara ini selepas dia berpakaian seperti sami sewaktu membuat persembahan di sebuah kelab baru-baru ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, tindakan DJ terbabit yang sengaja mencetus kontroversi telah mengguris perasaan penganut agama Buddha yang bakal menyambut Hari Wesak hujung bulan ini.

Bagaimanapun, menurut Kelab Gemu KL, pihaknya menyedari pada awal kebanyakan penaung mereka menyatakan keinginan agar acara tersebut diteruskan seperti dirancang.

Justeru, katanya, mereka menghargai setiap sokongan yang diberikan.

“Kami mahu memastikan sokongan penaung berterusan dan maklum balas mereka berharga buat kami.

“Jadi, keputusan yang dibuat juga berdasarkan kepentingan mereka serta komuniti di sini,” katanya.