Skip to main
Logo Malaysiakini

Bella kekal tenang, enggan layan permohonan maaf Ruhainies

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ingin fokus kerjaya seni, demikian jawapan ringkas pelakon dan penyanyi Bella Astillah berhubung permohonan maaf terbuka oleh aktres Ruhainies kepadanya baru-baru ini.

Kata Bella, ketika ini dia perlu menempuh perjalanan hidup yang masih panjang terutama kes penceraian yang masih berjalan di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah, saya okey sekarang. Saya minta maaf banyak-banyak kerana hendak fokus pada perbicaraan mahkamah.

“Jadi, doakan yang baik-baik. Apa-apa semua diserahkan kepada peguam,” katanya mengenai kontroversi yang menghimpit rumah tangganya dengan Aliff Aziz.

Ditanya mengenai sejauh mana keakrabannya dengan Sarah Yasmine - wanita yang mendakwa sebagai kekasih suaminya - Bella memilih untuk mengunci mulut.

“Disebabkan saya terlalu fokus pada kerja saja, saya langsung tidak tahu menahu apa-apa perkembangan baru Sarah di Instagram.

“Jadi, saya tidak boleh komen mengenai hal itu,” katanya.

Bella berkata demikian pada majlis hari raya pengeluar motosikal elektrik, GGR di Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu, peneraju GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi mengumumkan khabar gembira buat Bella.

Selain bakal dihadiahkan sebuah skuter elektrik pada penghujung bulan ini, GGR Motor juga berhasrat untuk melantik Bella sebagai duta.

Ruhainies tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Bella melalui program Melodi yang disiarkan pada 25 April lalu.

Pelakon itu berkata, dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri bagi mengelak kontroversi terbabit memburuk.

Pada 9 Mac lalu, Ruhainies atau nama penuhnya Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas dan Aliff dicekup atas dakwaan berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di ibu negara.

Rentetan kejadian tersebut, Bella mengambil keputusan memfailkan permohonan cerai secara ekspres terhadap Aliff pada 13 Mac lalu.

Keputusan itu dipercayai diambil selepas siri kecurangan penyanyi Sayang Sayang itu yang didakwanya berlaku sebanyak 11 kali.

Kemelut antara mereka bertiga menjadi lebih keruh apabila wanita kelahiran Singapura bernama Sarah muncul dan mendedahkan pelbagai tangkap layar perbualan WhatsApp antara Aliff dan wanita berinisial NRF, yang dipercayai sebagai Ruhainies.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohd Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

Sementara itu, mengulas mengenai hadiah yang diterima hari ini, Bella menganggapnya sebagai rezeki terpijak.

Katanya, dia sudah lama merancang untuk membeli motosikal bagi memudahkannya menghantar Mohd Ayden ke sekolah.

“Tapi rancangan itu asyik bertangguh, rupa-rupanya Tuhan nak berikan rezeki pada saya hari ini.

“Saya akan kongsikan gambar kami berdua menaiki motosikal itu nanti,” katanya lagi.