Skip to main
Logo Malaysiakini

Zul Huzaimy seru kerajaan ambil alih Coliseum

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pelakon dan pengarah, Zul Huzaimy, menyokong cadangan sesetengah penggiat seni agar kerajaan mengambil alih Panggung Coliseum di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Katanya, pengambilalihan bangunan ikonik yang berusia 104 tahun itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban pembikin filem ketika ini yang berkongsi keuntungan dengan pempamer.

“Kalau kita (penggiat seni) tidak mampu, mengapa tidak kerajaan saja yang ambil alih?

“Sistem pembahagian tiket hari ini di antara penerbit dan pemilik panggung ialah 50-50 peratus.

“Jadi kalau ditanya wajarkah kerajaan ambil alih, maka ia sangatlah wajar kerana hasil kutipan tiket boleh diberikan sepenuhnya kepada penggiat filem,” katanya.

Zul berkata demikian ketika ditemui pada majlis tayangan filem terbaru lakonannya, Ngesot, di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur semalam.

Filem terbitan Kash Pictures Sdn Bhd bertema survival thriller itu diilhamkan daripada kisah benar yang berlaku ke atas Nicholas Andrew, seorang anggota Askar Wataniah yang mengharungi pelbagai kesusahan semasa menyelamatkan diri bersama rakannya selepas terlibat dalam kemalangan.

Kisah benar itu berlaku pada tahun 2014 di Tapah, Perak apabila kereta yang dipandu Andrew terjunam ke dalam sebuah gaung.

Filem arahan Ayez Shaukat itu menjengah pawagam hari ini.

Baru-baru ini, penggiat seni antaraya pengarah Mahadi J Murat mencadangkan agar kerajaan membeli bangunan Coliseum untuk dijadikan pawagam nasional selepas bangunan itu diiklankan untuk dijual sejak awal April lalu.

Tambah Zul, kerajaan sememangnya wajar mencontohi negara luar seperti AS yang masih memulihara dan meraikan panggung-panggung lama untuk aktiviti tayangan filem baru.

Bahkan kata Zul, 45, dengan lokasi Panggung Coliseum yang sedia ada itu, ia sekali gus memudahkan golongan berusia untuk pergi menonton wayang tanpa perlu mengakses kompleks beli-belah.

“Apabila saya pergi di panggung belakang restoran KFC di Chow Kit, saya lihat begitu ramai mak cikIndia pakai sari, meriah sekali... rupa-rupanya mereka nak pergi menonton wayang di situ.

“Saya pergi ke Hollywood dan masuk ke panggung yang guna TCL Chinese Theatre, ia di tepi jalan, juga mudah diakses.

“Filem bukan calang-calang, saya tonton Mystic River dengan IMAX, guna pencahayaan warna yang dilemparkan hampir maksimum, sebab itu warna pun cantik.

“Saya tahu perkara begini sensitif untuk disuarakan, tapi kita malas ambil tahu, malas nak keluarkan bajet, panggung wayang seperti Coliseum seharusnya ada dan dikekalkan, bukan letak panggung wayang di kompleks beli-belah,” katanya.