Skip to main
Logo Malaysiakini

'Saya belum mati, mana royalti kami'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Vokalis Search, Amy berkata, dia tidak sesekali akan menghalalkan duit royalti hasil jualan album Rockology Search: Kid'Din Collection Series yang didakwa diterbitkan tanpa pengetahuannya.

Tambah terkilan kata Amy, Kid dan Din yang dulunya pernah menjadi kawan kini ibarat perompak kerana tidak mengagihkan wang royalti itu kepada dirinya dan pemain bass, Nasir serta waris allahyarham Yazit.

Amy

“Saya nak tanya kepada Din dan Kid, mana kami punya royalti album yang kamu jual? Saya tak akan halalkan…

“Itu hak kami termasuk anak dan isteri allahyarham Yazit. Kalau dulu kita asyik berkempen fasal cetak rompak, hari ini kawan-kawan sendiri yang rompak hasil titik peluh bersama. 

“Saya belum mati lagi hari ini, tapi kalau esok sudah tiada, takkan isteri dan anak saya perlu berbalah dengan dia isu ini. Jika arwah Yazit pun tidak dapat, apatah lagi saya,” katanya.

Menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, walaupun kumpulan Search sudah berpecah,  situasi yang menghimpit isu royalti itu didakwanya tidak dibahagikan secara adil.

Katanya, sewaktu perintah kawalan pergerakan dulu, Nasir pernah mendapatkan kontrak perjanjian digital untuk bayaran cenderahati hingga setiap seorang anggota kumpulan mereka mendapat kira-kira wang berjumlah RM50,000.

“Mereka (Kid dan Din) pernah beritahu hidup dalam kesusahan sewaktu (penularan) Covid-19 dulu, jadi Nasir dapatkan kontrak tersebut.

Search satu ketika dulu bersama arwah Yazit

“Tapi sekarang, kau jual album, satu dokumen pun tiada. Kami juga tidak dapat sesen pun sedangkan kontrak digital yang kami tandatangan, mereka juga dapat bahagian,” katanya.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Search yang diadakan di sebuah restoran di Sg Penchala, Kuala Lumpur malam tadi.

Selain Amy dan Nasir, turut hadir, anggota Search yang lain seperti gitaris, Man Kidal (gitar) dan Hillary Ang.

Untuk rekod, kumpulan Search mengalami krisis berpanjangan bermula dari isu pembatalan Konsert Search 35 pada 2016 hingga berpecah kepada dua.

Rockology Search: Kid'Din Collection Series yang diterbitkan Home of Champions mengandungi 17 barangan istimewa dalam satu Rockobox yang dijual dengan harga RM299 pada 2021.

Rockobox itu mengandungi CD berkembar menampilkan 22 lagu Search 'remastered' serta satu trek bonus menampilkan solo gitar Din.

Mengulas lanjut, Amy, 65, berkata, Kid dan Din seolah-olah tidak menghormati dia dan Nasir walaupun sedia maklum tindakan mereka itu salah.

Kid dan Din bersama line up Konsert Gemuruh

Malah dakwanya, daripada cakap-cakap “belakang” yang didengari, Kid dan Din ada berkata, agihan royalti yang akan mereka berikan daripada album tersebut hanya berdasarkan belas kasihan.

“Paling tidak seronok apabila saya dengar macam-macam cerita. Ada kawan sampaikan pada saya mereka akan bayar ikut belas kasihan mereka.

“Ini tidak boleh sedangkan album itu terkandung lagu-lagu yang kami mainkan bersama. Mereka sudah langgar Akta Hak Cipta 1987.

“Ini juga satu contoh tidak baik kepada generasi pemuzik baru. Bagaimana mereka nak bayar royalti pada kami kerana tiada perjanjian membabitkan saya, Nasir mahupun Yazit. 

“Justeru, saya dan Nasir akan mengetengahkan isu ini kepada peguam untuk tindakan lanjut,” katanya.