Skip to main
Logo Malaysiakini

Sarimah bakal ambil tindakan undang-undang terhadap scammer

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Anak seniwati Sarimah Ahmad mengancam untuk menggunakan saluran undang-undang terhadap scammer yang masih berdegil dan tidak berhenti menyalahgunakan nama ibunya di media sosial.

Bercakap kepada Malaysiakini, Shahray Zulkifli yang juga bekas peguam syarie itu berkata, tindakan berkenaan akan diambil selepas mendapati beberapa akaun Facebook (FB) terus mengabaikan amaran yang dibuatnya.

“Masih ada segelintir pihak yang berdegil dan terus gunakan nama ibu saya tanpa izin.

“Jika sudah melampau sangat sampai isu ini boleh jejaskan reputasi mak, mungkin tindakan undang-undang boleh difikir untuk diambil dengan menghantar Letter of Demand (LOD) atau sebagainya,” katanya.

Menurut Shahray, 55, ibunya menangis apabila mengenangkan pihak tidak bertanggungjawab tergamak menipu orang awam mahupun peminatnya tanpa rasa bersalah.

Justeru katanya, dia terpaksa berkeras dengan tindakan yang sewajarnya bagi mengelak perkara di luar jangka.

“Kami bimbang sekiranya hal ini masih berlanjutan ia akan membawa musibah kepada mangsa yang terpedaya apabila membeli produk terbabit.

“Kalau dah keluar duit, produk tidak dapat macam mana? Kalau jatuh sakit juga sudah satu hal, macam mana kalau tiba-tiba kejung (mati) pula?” katanya.

Semalam Malaysiakini menyiarkan Shahray menegaskan ibunya langsung tidak memiliki mahupun tahu menggunakan sebarang akaun di media sosial.

Sarimah yang terkenal melalui lakonannya dalam filem seperti Tiga Abdul, Ali Baba Bujang Lapok dan Ibu Mertua-ku itu menjadi mangsa scammer apabila ada pihak menggunakan identiti dan testimoni produk tambahan kesihatan yang didakwa daripada pelakon itu.

Shahray berkata, dia bersyukur kerana ketika ini masih belum ada mangsa mengadu kepadanya mahupun ibunya bahawa mereka telah menjadi mangsa scammer terbabit.

Pada masa sama, menurutnya, dia juga sudah berusaha untuk menjejaki scammer bagi menghentikan perbuatan mereka namun tidak berjaya.

“Saya cuba hantar teks pesanan ringkas tapi mereka sudah sekat nombor telefon saya,” katanya.