Skip to main
Logo Malaysiakini

Ahmad Idham perangi persepsi negatif dalam misi 'merakyatkan' penjara

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Melihat kebolehpasaran naskhah yang mengetengahkan subjek banduan melalui kaca TV, Ahmad Idham yakin usahanya mengangkat kisah golongan itu sedikit-sebanyak dapat membantu mengubah persepsi masyarakat.

Lebih meyakinkan, kata pengarah dan pelakon itu, melalui kajian yang dibuatnya, masyarakat sejak kebelakangan ini dilihat terbuka untuk memberi peluang kepada bekas banduan memulakan hidup baru.

“Apabila kita buat naskhah yang diinspirasikan daripada kisah hidup, hasilnya jadi lebih menarik dan unik terutama apabila dikaitkan dengan kisah yang berlaku dalam masyarakat.

“Kadar kepopularan (rating) kisah banduan pada masa lalu di stesen TV juga tinggi, ini sesuai untuk mengetengahkan isu-isu berkaitan mereka.

“Kali terakhir saya arahkan kisah banduan ialah filem 8 Jam dilakonkan Shaheizy Sam.

"Selepas itu memang berlaku penurunan rating tapi apabila dapat peluang, saya tidak akan lepaskan untuk tingkatkan populariti kisah banduan semula dan lakukan yang terbaik, ” katanya.

Berbeza daripada apa pernah dihasilkannya sebelum ini, Ahmad Idham, 50, berkata dia kini terpanggil untuk mengetengahkan kisah banduan wanita yang melahirkan anak dalam penjara melalui telefilem Gari Jadi Saksi yang akan ditayangkan di RTM.

Kata pengarah Jangan Pandang Belakang itu lagi, dia teruja untuk melihat bagaimana sambutan masyarakat terhadap kisah yang akan dipaparkan.

“Ini kisah banduan wanita melahirkan anak dalam penjara namun terpaksa melepaskan bayinya kepada orang lain untuk dijaga.

“Anak tersebut akan dijaga oleh seorang warden dari penjara berkenaan.

"Kemuncak konfliknya apabila wujud sentimen masyarakat terhadap penerimaan anak banduan dalam jalani kehidupan normal.

“Persepsi negatif masyarakat selalu jadi penghalang untuk jaga anak banduan hingga akhirnya terpaksa dibawa ke Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya ketika ditemui Yayasan Koreksional Malaysia di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Idham berkata, melalui Gari Jadi Saksi dia juga akan bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi memastikan karya itu lebih menarik untuk ditonton.

“Kebetulan saya memang rapat dengan jabatan itu, ini memudahkan saya dapatkan maklumat tepat bagi kajian yang akan dijalankan.

“Saya faham penjara juga ada misi untuk merakyatkan penjara kerana tempat itu bukan tempat jalani hukuman semata-mata seperti dulu.

“Sekarang penjara juga jadi tempat pemulihan, malah sudah ramai banduan memiliki ijazah,” katanya.