Skip to main
Logo Malaysiakini

Amy Search teruja nak laksanakan haji 6 Jun ini

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Vokalis Search, Amy, menzahirkan rasa sangat teruja apabila dia akan berangkat untuk menunaikan haji pada 6 Jun ini.

Kata Amy, dia bersyukur kerana hajatnya untuk menunaikan rukun Islam kelima bagi yang berkemampuan itu bakal terlaksana.

Lebih menggembirakan menurut Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, isterinya, Norhasniza Hassan akan turut serta.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki saya untuk ke sana. Sepatutnya kami pergi selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu tapi tidak dapat visa kerana ketika itu Arab Saudi dikatakan berdepan masalah dengan pemprosesan visa bagi jemaah haji,” katanya.

Ditanya persediaan untuk ke Tanah Suci, Amy, 66, menjawab dia memang dihimpit perasaan yang berdebar-debar.

Jelas penyanyi Gemuruh itu, ia kerana ibadah umrah yang biasa dikerjakan amat berbeza daripada haji.

“Umrah saya dah biasa pergi. Jadi untuk ibadah haji ini saya serahkan seluruh jiwa dan raga saya kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Search di Villa Zamara, Sungai Penchala baru-baru ini.

Ketika ini, kata Amy, dia harapan utamanya ialah agar segala urusan semasa mengerjakan ibadah itu dipermudahkan dan ibadahnya diterima.

Katanya, dia juga sudah bersiap-sedia berdepan segala dugaan yang bakal diterima seikhlas hati selain ingin memanjatkan doa buat keluarga dan sahabat-handai.

“Saya doa Allah berikan saya perjalanan yang baik dan indah. Apa saja dugaan Allah nak berikan, saya terima dengan reda.

“Sudah tentu saya akan berdoa terutama untuk keluarga dan anak-anak. Tidak dilupakan doa buat saudara-mara dan sahabat,” katanya.