Skip to main
Logo Malaysiakini

Blockout2024: Ella gesa semak sebelum boikot

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Ratu rock Ella menggesa pengguna media sosial supaya tidak membuat sebarang tuduhan melulu terhadap mana-mana selebriti tempatan yang diancam boikot dalam kempen Blockout2024.

Penyanyi itu berkata, warga maya wajar menyelidik kesahihan sama ada selebriti yang ingin 'disekat’ di media sosial itu benar-benar terbabit mempromosi produk jenama pro-Israel mahupun berdiam diri berhubung penderitaan Gaza yang berdepan kekejaman Zionis.

“Sebelum lemparkan tuduhan artis itu tidak mempedulikan Palestin, kita kena selidik dulu.

“Bagi saya, mungkin segelintir mereka mempunyai sebab tersendiri kenapa tidak bersuara isu-isu Palestin,” katanya.

Ella malah menegaskan jika seseorang selebriti itu tidak berkongsi hebahan mengenai kesengsaraan dideritai Palestin di media sosial tidak semestinya bermaksud dia tidak prihatin dengan isu tersebut.

Kata penyanyi lagu Tinggal Tanda Tanya itu, mungkin selebriti terbabit mempunyai cara tersendiri untuk berkongsi keprihatinan mereka.

“Saya sendiri misalnya mendedikasikan keseluruhan persembahan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota (di Pulau Pinang) sebagai memperingati situasi di Palestin,” katanya.

Ella berkata demikian pada sidang media pengumuman konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia di sebuah hotel di Kuala Lumpur hari ini.

Konsert lebih istimewa buat peminat setia Ella itu dijadual berlangsung di Plenary Hall, KLCC pada pada 9 Ogos depan.

Ia dijangka berlangsung satu malam saja dan akan menampilkan persembahan gabungan unik muzik rock Ella dengan elemen band dan orkestra.

Untuk rekod, kali terakhir Ella beraksi dengan iringan orkestra adalah pada 2017.

Kempen Blockout2024 yang bermula sejak berakhirnya Met Gala di New York, AS pada 6 Mei lalu turut tersebar hingga ke Malaysia.

Idea kempen tersebut menyasarkan selebriti dan pempengaruh secara global yang tidak sensitif dengan penderitaan Palestin serta dilihat mempromosi jenama yang menyokong Israel.

Antara selebriti tempatan yang diancam boikot itu adalah Nadhir Nasar, Scha Alyahya, Daiyan Trisya, Mira Filzah dan Intan Najuwa.

Pada masa sama, Ella - penyanyi yang kariernya berlangsung hampir empad dekad itu - menegaskan dia seorang yang berpegang pada prinsip.

Menguatkan lagi kenyataannya itu, Ella berkata dia sanggup menolak tawaran lumayan daripada beberapa jenama mewah antarabangsa yang dikaitkan dengan Israel.

“Ya, saya memang ada tolak tawaran terrsebut walaupun dibayar mahal kerana selepas diselidik, jenama terbabit tidak bersifat kemanusiaan sejagat.

“Saya buat ini semua kerana prinsip saya. Saya juga minta pasukan saya teliti tawaran terlebih dulu sebelum terima dan tandatangan sebarang kontrak,” katanya lagi.

Mengulas mengenai konsert Jilid Rockestra Ella: Rockers Juga Manusia, Ella berkata acara itu bakal diisi dengan lagu-lagu yang tidak pernah dimainkan di mana-mana konsert sebelum ini.

Katanya, persembahan dijangka berlangsung kira-kira 2 jam 30 minit dan bakal menampilkan artis jemputan yang belum boleh didedahkan namanya.

“Kelainannya apabila konsert orkestra tapi ada unsur rock and roll, tapi macam mana susunannya, anda kena bayangkan.

“Anda juga akan terperanjat kerana saya akan bawa lagu yang anda sendiri tidak pernah dengar.

"Untuk jelaskan lebih terperinci belum lagi kerana kami masih dalam fasa merancang.

“Selain itu, akan ada kejutan artis jemputan. Ini adalah artis yang saya pilih sendiri malah dia adalah idola saya,” katanya lagi.