Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramona sindir selebriti tak ikhlas perjuang nasib Palestin

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Pelakon Ramona Zamzam menyindirsegelintir selebriti sebagai bersikap tidak ikhlas selepas mereka dilihat “terhegeh-hegeh” bersuara isu Palestin gara-gara diancam boikot dalam kempen Blockout2024.

Kata isteri kepada warga Palestin, Rami Alashkar itu, walaupun gembira dengan senario tersebut, dia tidak mudah terpedaya dengan tindakan mereka.

Menurutnya, selebriti berkenaan sepatutnya sudah lama menggunakan media sosial untuk lantang mempertahankan isu Palestin namun tidak berbuat demikian.

“Segelintir daripada kamu tidak pernah bercakap sepatah apa mengenainya, sekarang dah tersenarai dalam Blockout2024 baru terhegeh-hegeh nak muat naik hebahan.

“Tapi nak tahu tak? Saya tidak percaya kamu, tidak akan diperbodohkan dengan posting tersebut.

“Kamu tidak ikhlas kerana kamu tidak prihatin,” katanya di media sosial hari ini.

Pelakon KL Special Force itu mendakwa golongan terbabit lebih mementingkan populariti serta wang semata-mata.

“Bukan kamu yang dibunuh dan dibom. Apa kamu fikirkan adalah duit dan populariti.

“Kamu yang mata duitan tidak akan temui cinta sejati. Siapa kisah mengenai kanak-kanak yang mati?

“Berbakat atau tidak, mari kita lihat karier siapa yang akan berkubur nanti,” katanya lagi.

Dua hari lalu, pelakon Nadhir Nasar tampil memohon maaf kerana terlibat mempromosi jenama antarabangsa pro-Israel manakala Scha Alyahya, Mira Filzah dan Awal Ashaari berkata ada cara lebih baik untuk berdakwah atau mengingatkan sesama Islam berbanding melalui penyebaran kebencian.

Ella

Semalam, ratu rock Ella menggesa pengguna media sosial untuk menyelidik terlebih dulu sebelum memboikot mana-mana artis tempatan yang dikaitkan dengan isu Palestin-Israel.

Pada masa sama, Ramona, 33, juga menegur tindakan segelintir warganet yang meninggalkan kata-kata hinaan di akaun media sosial artis dalam senarai Blockout2024 yang didakwa mempromosi jenama pro-Israel.

Dia mengingatkan orang ramai agar menggunakan pendekatan lebih sesuai untuk menegur tanpa perlu membuat makian mahupun kecaman.

“Kalau anda betul ikhlas untuk sekat mereka, lakukan dengan profesional. Jadilah manusia bertamadun.

“Sama juga kalau anda boikot produk pro-Israel, jangan pergi restoran mereka dan ‘kenakan’ staf. Untuk apa? Adakah anda sedar betapa bodohnya tindakan itu?

“Adakah anda rasa suci apabila kacau orang sedang bekerja? Cara itu tidak kena langsung dengan tujuan sebenar,” katanya lagi.