Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu bapa Naim diugut sembelih gara-gara emosi ghuluw

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Penyanyi dan pelakon Naim Daniel mendedahkan gara-gara bersuara lantang dalam isu Blockout2024, ibu dan bapanya turut terkena tempias apabila mereka menerima ugutan bunuh daripada seorang pengguna media sosial.

Terkilan dengan perkara itu, Naim menyelar tindakan segelintir warga maya kerana tidak menyelidik terlebih dulu sedangkan namanya tidak tersenarai dalam kempen boikot tersebut.

“Jika ini adalah sebahagian daripada cara untuk #blockout2024 maka terangkan kepada saya, apakah dihalalkan untuk mengugut, menghina, memfitnah, mencaci maki tanpa usul periksa atas nama boikot?” katanya.

Menurut Naim, 26, dia sebelum ini hanya berpesan kepada netizen supaya jangan bersikap ghuluw (melampau) ketika meluahkan rasa tidak puas hati.

Kata penyanyi lagu Sumpah itu, bersikap keterlaluan dikhuatiri boleh membawa seseorang melalui jalan dosa walaupun ketika itu mereka cuba melakukan kebaikan.

Hanya kerana berpesan supaya jangan melampau dalam memboikot, katanya, ada orang tergamak menghina perkara yang tidak ada kena mengena dengan perkara yang diboikotkan.

“Saya dikatakan terpaling (Israel). Malah siap ada antara mereka yang menyalah erti dan menggunakan naratif yang berbeza bagi menentang saya,” katanya di Instagram.

Mengiringi hantaran itu, Naim memuat naik tangkap layar memaparkan komen beberapa pengguna akaun Instagram yang bersikap keterlaluan termasuk seorang yang mengancam untuk “menyembelih” ibu bapanya.

“Kalau aku jumpa mak, pak hang, aku sembelih hidup, hidup,” tulis individu terbabit.

Kononnya halal kerana boikot

Kempen Blockout2024 yang bermula selepas Met Gala di New York berakhir 6 Mei lalu menyasarkan selebriti global yang dilihat berdiam diri dalam isu Palestin serta menjalinkan kerjasama dengan jenama menyokong Zionis.

Sejak kempen itu digerakkan, pengguna media sosial menyah ikut malah menyekat beberapa nama selebriti yang tersenarai sebagai salah satu tindakan memboikot.

Kempen yang menular di Malaysia itu turut mengakibatkan beberapa nama selebriti tempatan terpalit dengan isu terbabit antaranya Nadhir Nasar, Awal Ashaari, Scha Alyahya dan Daiyan Trisha.

Pada Instagram Stories, Naim turut berkongsi imej berada di sebuah balai polis dipercayai bagi membuat laporan berhubung perkara tersebut.

Pada masa sama, Naim menegaskan tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan produk berjenama mewah yang dikaitkan sebagai pro-Israel.

“Saya juga tidak pernah menerima sebarang bentuk tajaan barangan mewah daripada jenama yang menyokong rejim laknatullah," katanya.

Tambah Naim dia tidak pernah menidakkan kesengsaraan mahupun kezaliman dialami penduduk Palestin yang sedang diganyang rejim Zionis Israel.

“Saya dilahirkan dengan kalimah lailaha illallah di telinga dan semoga mati dengan kalimah agung ini hendaknya.

“Jadi, terangkan kepada saya, apakah ini semua? Komen begini yang ada dalam ribuan komentar yang saya dapat dalam tempoh dua hari ini adalah halal atas dasar boikot?” katanya.