Skip to main
Logo Malaysiakini

Kembali aktif, Mila Jirin mahu bawa manfaat pada masyarakat

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Penyanyi dan usahawan Mila Jirin berjanji untuk tidak meninggalkan bidang seni suara selepas muzik video Sandera yang dilancarkan di semua platform digital Mac lalu meraih hingga 25,000 tontonan.

Katanya, tempoh 10 tahun berehat bagi membina empayar perniagaan sebelum ini sudah cukup dan dia ingin kembali memeriahkan dunia seni.

“Setahun atau dua tahun lalu, saya ada berkongsi video menyanyi di media sosial dan ramai yang tanya kenapa sia-siakan bakat.

“Seperti yang semua tahu, saya cuba pujuk suami. Pada mulanya suami agak berat nak membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan.

“Tapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi. Alhamdulillah dia izinkan,” katanya.

Bukan setakat itu, Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin berkata, dia juga ingin mengintai potensi dalam perniagaan bidang seni pula.

“Kerana itu saya gunakan peluang yang ada. Saya nak, hadirnya saya kembali dalam industri dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai Sandera, Mila, 36, berkata, dia menerima banyak komen positif daripada peminat yang menyatakan keterujaan mereka ingin menyaksikan kemunculan semulanya dengan membawakan lagu bertepatan dan bersesuaian.

Malah menurut Mila, ada yang berkata Sandera layak dibawa ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) kerana karya ciptaan Amylea Azizan itu mempunyai keserasian dengan vokalnya.

Bagaimanapun Mila menyifatkan ia adalah pujian sangat besar buatnya yang baru menapak kembali dalam industri seni muzik.

“Siapa yang tidak mahu berada di pentas gah AJL? Ia adalah impian bagi kebanyakan penyanyi sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sesebuah lagu itu.

“Saya yakin susunan muzik Amylea memberi majis buat sesiapa saja yang mendengar.

“Yang penting saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu,” katanya yang berharap mempunyai banyak lagu agar dapat menunaikan impiannya menganjurkan showcase A Night With Mila Jirin di Bizmilla Banquet Hall miliknya.

Pada masa sama, ditanya pula mengenai pemilihan Nonny sebagai pelakon muzik video Sandera, Mila menjelaskan dia mahu memberi ruang kepada teman baiknya itu kembali bergiat aktif dalam industri lakonan.

“Alhamdulillah, berdasarkan komen-komen yang saya baca, ramai yang menyokong Nonny untuk kembali bergiat aktif dalam lakonan.

“Apa yang saya fikir, ini peluang untuk dia. Mana tahu selepas ini penerbit drama semua cari dia kan,” katanya.

Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!