Skip to main
Logo Malaysiakini

Dari kempen #blockout2024 jadi gerakan 'terpaling suci'

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Sikap sesetengah pihak yang seperti 'terpaling suci' dalam kempen memencilkan pihak terkait dengan Israel kadang-kadang merisaukan.

Pengarah dan pelakon, Afdlin Shauki, berkata sikap ditunjukkan mereka memberi gambaran bahawa sangat mudah untuk sesiapa saja dihukum asalkan pihak terbabit tidak 'sekapal' dengan pandangan yang dibawa.

Pada masa sama, katanya, orang ramai perlu faham majoriti rakyat negara ini - termasuk dalam kalangan bukan Islam - memang memberikan solidariti kepada perjuangan Palestin.

Jika sekadar mahu memberikan nasihat kepada artis yang kelihatan menjarakkan diri daripada isu itu, kata Afdlin, ia masih boleh diterima, namun bukan mengecam secara melampau jika kelihatan lambat mengambil sikap.

“Kita kena tanya diri sendiri dulu: adakah kita semua memang pasti akan masuk syurga?

“Kita bukannya tahu apa yang semua artis buat... kita jangan menghukum.

“Mengingatkan - itu tak apalah, tapi yang menjatuhkan hukum tu kerja Tuhan," katanya kepada Malaysiakini.

Sejak akhir-akhir ini beberapa artis tempatan menjadi sasaran kecaman atau kejian kerana dilihat enggan menunjukkan sikap terhadap kesengsaraan penduduk Palestin di Gaza.

Kemunculan kempen #blockout2024 pula membolehkan orang ramai menjarakkan diri daripada artis yang dilihat bekerjasama dengan mana-mana syarikat berkaitan Israel.

Setakat ini beberapa nama artis tempatan sudah terkena tempias kempen berkenaan.

Antara langkah yang diambil peminat ialah berhenti menjadi pengikut artis terbabit di media sosial.

Namun ia dilihat tersasar apabila kempen berkenaan dicemari dengan tindakan keterlaluan menghina, mengeji dan mengutuk.

Takkan semua nak bagitahu

Afdlin berkata dia sendiri menerima banyak video memaparkan kekejaman rejim Zionis Israel ke atas penduduk Palestin namun tidak memuat naik atau menyebarkan bahan itu sewenang-wenangnya.

Tindakan tersebut katanya tidak menjadikan dia menyokong Israel.

"Saya cuma bimbang kempen ini lari daripada konsep asal apabila 'kuasa' yang ada pada kita disalah guna," katanya.

Pada masa sama Afdlin berharap artis yang menjalin kerjasama dengan pihak yang ada kaitan dengan Israel wajar menilai semula sikap mereka ketika ini.

Orang ramai pula, katanya, wajar cuba memahami keadaan artis yang mungkin terkekang oleh sesuatu sehingga tidak dapat menunjukkan sokongan secara langsung kepada Palestin.

“Saya sendiri pernah kena banned (dihalang) kira-kira setahun oleh sebuah stesen TV pada 2013 hanya kerana saya enggan terima iklan daripada produk pro-Zionis.

"Akibatnya pula besar kerana pekerja tak ada gaji, tapi saya tak kongsikan perkara ini kepada umum," katanya.

Sementara itu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berpendapat mungkin ada pihak tertentu sengaja mencipta isu sempena kempen #blockout2024 untuk mendapat perhatian atau menambah pengikut.

Dihubungi Malaysiakini, Presiden Seniman Zed Zaidi, berkata kempen tersebut mungkin tepat diadakan di Barat namun kurang sesuai di negara ini kerana majoriti artis memang memihak kepada Palestin.

“Takkan semua artis atau anak seni nak kena beritahu kepada orang ramai apa sumbangan yang mereka bagi.

"Kalau begitu, dah macam menunjuk-nunjuk pula," katanya.

Zed juga berharap orang ramai bersikap adil kepada artis di negara ini dan jangan menjadikan mereka mangsa keadaan.

“Kadang-kadang mereka pun cari makan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!