Skip to main
Logo Malaysiakini

Daiyan Trisha tamatkan kontrak dengan syarikat pro-Israel

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Penyanyi dan pelakon Daiyan Trisha mendedahkan dia menamatkan kontraknya dengan beberapa jenama yang dikaitkan dengan Israel selepas memikirkan isu kemanusiaan.

Malah katanya keputusan tersebut dibuat atas kerelaan sendiri.

“Saya nak maklumkan yang saya dah tamatkan kontrak dengan beberapa jenama yang saya bekerjasama sebelum ini.

“Ini adalah keputusan saya sendiri dan perjuangan saya sendiri demi Palestin.

“Ini juga adalah cara saya bertindak dan tunjukkan pendirian berterusan saya,” katanya dipetik Harian Metro.

Terdahulu nama Daiyan, 30, terpalit dalam gerakan boikot Blockout2024 dan menerima kecaman apabila dia didakwa tidak menunjukkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Sebagai respons Daiyan memuat naik bukti sumbangan yang diberikannya - berjumlah RM100,000 - kepada empat organisasi bukan kerajaan (NGO) berkaitan Palestin.

Mendedahkan perkara itu di media sosialnya, Daiyan memberitahu, empat NGO terbabit ialah Mercy Malaysia, Global Peace Mission, Cinta Gaza Malaysia dan Viva Palestina dengan setiap satu menerima RM25,000.

Blockout2024 digerakkan selepas berakhirnya Met Gala di New York apabila selebriti di negara itu dilihat tidak sensitif malah tidak menggunakan platform mereka untuk menyuarakan isu Palestin.

Tarikh tersebut juga hari sama Israel melancarkan serangan ke atas Rafah, bandar terakhir yang menjadi tempat pelarian Palestin selepas kemusnahan Utara Gaza.

Daiyan berkata, dia menerima setiap teguran diberikan serta memandang isu Blockout2024 yang dikaitkan dengannya sebagai sesuatu yang serius.

“Saya harap, kita semua akan terus berjuang untuk saudara-saudara kita di sana," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!