Skip to main
Logo Malaysiakini

Solidariti Palestin mesti dengan ilmu, akhlak

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar menasihati masyarakat agar mengutamakan kebenaran, ilmu dan akhlak ketika memberikan solidariti kepada rakyat Palestin.

Dia juga menegaskan agar masyarakat tidak mengambil pendekatan yang ekstrem kepada mana-mana pihak dalam menunjukkan sikap mereka terhadap mangsa keganasan Zionis Israel.

“Apatah lagi jika ia melibatkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kezaliman rejim Zionis yang membunuh dan mengebom ribuan rakyat Palestin membangkitan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Hal ini mengakibatkan terdapat pihak termasuk rakyat Malaysia menyokong “kempen boikot” syarikat dan barangan yang dipercayai mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.

Antara jenama utama yang disasarkan oleh kempen tersebut ialah McDonald's dan KFC.

Bagaimanapun kempen tersebut dilihat memberi kesan lebih besar kepada syarikat tempatan yang mengendalikan jenama berkenaan, selain ribuan pekerja mereka, termasuk dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU).

Turut terjejas dengan penutupan atau pengecilan operasi syarikat berkenaan ialah pembekal dalam kalangan ahli perniagaan bumiputera.

Jenama kopi tempatan, Zus Coffee turut terkena tempias apabila syarikat itu berkolobrasi dengan jenama antarabangsa Adidas yang terkait dengan Israel.

Walaupun jenama kopi itu telah membuat permohonan maaf namun ada masyarakat yang menolak kerana kenyataan media mereka tidak menyelitkan mengenai keganasan Israel terhadap Palestin.

Dalam dunia hiburan pula muncul kempen #Blockout2024 yang menyasarkan selebriti yang menjalin kerjasama atau terkait dengan mana-mana entiti dipercayai mempunyai kepentingan Israel.

Daripada sekadar menjarakkan diri daripada mereka, sesetengah orang bertindak lebih ekstrem apabila menggunakan pendekatan berbahaya termasuk mengancam, menghina dan mencaci personaliti tertentu.

Antara artis tempatan yang dikaitkan dengan kempen itu ialah Neelofa, Nadhir Nasar, Naiem Daniel, Mira Filzah, dan Awal Ashaari.

Bahkan ibu bapa Naiem Daniel mendapat ugutan bunuh dalam ruangan komen di kaum media sosial miliknya.

Lelaki itu telah ditahan kelmarin di Kamunting, Perak, bagi membantu siasatan.

Kata Mohd Na’im, rakyat di negara ini perlu sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat.

“Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam adalah perlu dielakkan sama sekali,” katanya.