Skip to main
Logo Malaysiakini

PTVM anggap garis panduan baru tapisan filem samar-samar

Artikel ini sudah 2 bulan diterbitkan

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) khuatir garis panduan penapisan filem yang diperkenalkan kerajaan hari ini dilihat masih samar-samar untuk dijadikan rujukan penggiat industri tempatan.

Presidennya, Jurey Latiff Rosli, bahkan menyifatkan garis panduan itu juga terlalu umum - dari segi apa boleh dan tidak boleh dilakukan - menyebabkan isu tapisan terpulang kepada pertimbangan panel Lembaga Penapis Filem (LPF) untuk membuat penilaian.

Katanya, pada pandangan PTVM klasifikasi filem kali ini lebih menyeluruh apabila diwujudkan kategori P12, P13 dan P16 yang beri pengkhususan pada Garis Panduan Baru LPF.

Langkah itu, kata Jurey, menunjukkan kerajaan mengambil berat isu melibatkan ketenteraman awam, agama dan perkara sensitif di negara ini.

Pun begitu, katanya, PTVM bimbang jika penilaian dan tapisan LPF dikendalikan oleh orang yang bukan daripada kalangan penggiat industri seni kerana keadaannya yang tidak jelas.

“Dari segi kreativiti contohnya, simbol yang divisualkan mempunyai tafsiran tertentu dan hanya orang filem saja boleh memahami dengan mendapat dan faham bahasa filem,” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru Jurey mencadangkan agar LPF melantik wakil industri sebagai sebahagian daripada pegawai panel mereka bagi menyeimbangkan keputusan tapisan yang akan dibuat.

Boleh bantu proses tapisan

Pengarah filem dan drama itu menjelaskan, masalah besar yang kerap berlaku kepada pembuat filem ialah apabila karya disiapkan terlebih dulu sebelum dihantar untuk proses tapisan.

“Aspek ini harus diteliti kerana sebagai pembuat filem, kalau boleh kami tak mahu karya kami dipotong. Kami juga tidak mahu filem sudah disiarkan, kemudian ditarik balik atau diharamkan.

“Jika boleh, hal ini dielakkan dari peringkat awal dengan merujuk kepada LPF melalui garis panduan yang tidak samar-samar.

“Kami cadangkan wakil LPF duduk bersama penggiat industri, sebab kita perlu ada orang industri sendiri yang boleh melihat subteks atau 'membaca' simbol tersurat mahupun tersirat dalam sesebuah filem

“Ini mungkin boleh membantu tapisan sesebuah filem,” katanya.

Hari ini Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga teras utama diterapkan dalam garis panduan baru penapisan filem iaitu faktor keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan serta moral dan sosiobudaya.

Saifuddin Nasution Ismail

Katanya, garis panduan baru itu kini menggantikan ketetapan terdahulu yang diperkenalkan sejak 2010.

Kata Jurey pada ketika ini ada sesetengah babak yang dipotong oleh LPF namun keputusan tersebut masih boleh dirayu agar dibenarkan ditayangkan namun ia ambil masa begitu lama sebelum keputusan diperolehi.

"Bagi penggiat seni, setiap hari adalah duit," katanya,


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!