Skip to main
Logo Malaysiakini

Sean Diddy 'jijik' diri sendiri lepas 'dilondeh' belasah bekas kekasih

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Penyanyi rap, penerbit dan usahawan AS, Sean Diddy Combs, membuat permohonan maaf terbuka susulan tular klip video memaparkan dia membelasah bekas kekasihnya, Cassie Ventura, pada 2016.

Sean yang dulu dikenali dengan nama pentas Puff Daddy atau P Diddy tampil membuat penjelasan itu melalui sebuah klip video dikongsikan di Instagram miliknya.

Ia dilakukan selepas dua hari dia mengunci mulut dan menerima pelbagai kecaman di media sosial.

“Sangat sukar untuk merenung masa silam paling gelap dalam hidup anda, tapi kadang-kala kamu perlu juga melakukannya.

“Saya sudah buat silap pada titik terendah dalam hidup saya, tapi itu bukanlah alasan. Tingkah laku pada video itu tidak boleh dimaafkan, justeru saya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan saya dalam video itu.

“Saya seorang yang menjijikkan. Saya juga berasa jijik pada diri sendiri ketika melakukan perbuatan itu, apatah lagi sekarang,” katanya.

Bagaimanapun, Sean, 54, membuat kenyataan itu tanpa memetik nama Cassie.

Baru-baru ini, nama Sean kembali menjadi bualan selepas video lama memaparkan bagaimana dia memukul Cassie tersebar.

Sudah pergi terapi

Rakaman tular itu sekali gus membuktikan kesahihan dakwaan aktres terbabit yang selama ini menjadi mangsa keganasan Sean.

Dalam video berkenaan, Cassie, 28, dilihat berjalan menuju lif membawa beg pakaian keluar dari bilik sebuah hotel di Los Angeles, AS.

Sean kemudian datang berlari dari arah bilik dengan hanya bertuala mandi menuju ke lif berkenaan. Dia kemudian menarik leher Cassie dan menghumban pelakon dan model itu ke lantai sebelum menendangnya dua kali.

Penyanyi itu kemudian mengambil beg pakaian serta beg tangan Cassie sebelum menendang selebriti terbabit lagi sekali ketika wanita itu terbaring tidak bermaya di lantai.

CNN melaporkan, kes antara Cassie yang penyanyi dengan Sean menjadi bualan apabila mendedahkan dia kezaliman rapper terbabit termasuk dipaksa melayan nafsu ramai lelaki.

Kedua-duanya bagaimanapun bersetuju menyelesaikan secara tertutup konflik berkenaan tanpa melibatkan mahkamah.

Cassie pernah bernaung di bawah syarikat pengurusan Sean ketika dia berusia 19 tahun.

Untuk rekod, sejak 2023 Sean berdepan lima tindakan undang-undang sivil berasingan atas pelbagai kes termasuk membabitkan isu seksual dan aktiviti haram lain.

Satu daripada kes itu telah diselesaikan tapi yang lain masih aktif.

Tambah Sean dalam video permohonan maaf itu, dia sudah pun mendapatkan bantuan pakar untuk mengatasi masalah sikapnya.

“Saya pergi ke terapi, pergi ke pemulihan. Saya terpaksa memohon kepada Tuhan untuk rahmatnya. Saya minta maaf.

“Tapi saya komited untuk menjadi lelaki yang lebih baik setiap hari. Saya tidak meminta pengampunan. Saya benar-benar minta maaf,” katanya.

Peguam Cassie, Meredith Firetog berkata kenyataan Sean lebih menjurus kepada diri sendiri berbanding memohon maaf pada ramai mangsa yang dicederakannya.

“Apabila Cassie dan beberapa wanita lain tampil ke depan, dia menafikan segala-galanya malah mencadangkan bahawa mangsa-mangsanya bermotif yang berpaksikan duit dan populariti.

“Dia terpaka memohon maaf selepas penafiannya yang berulang kali terbukti palsu - ini menunjukkan betapa dia terdesak dan tiada siapa akan terpengaruh dengan kata-kata yang tidak jujur,” katanya dalam kenyataan selepas permohonan maaf Sean itu.