Skip to main
Logo Malaysiakini

ReformARTsi tuntut proses telus bagi keputusan Puspal

Artikel ini sudah 5 bulan diterbitkan

Gabungan 55 kumpulan seni menggesa kerajaan menyediakan prosedur yang telus untuk pembatalan sesuatu persembahan.

Dalam kenyataan di Instagram, ReformARTsi turut menggesa kerajaan melibatkan pemain industri kreatif dalam menguruskan aduan mengenai acara seni kreatif.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan bahawa kepelbagaian adalah sebahagian daripada budaya negara ini – termasuk bersikap terbuka kepada perbezaan.

"Kerajaan dan agensinya mesti membantu dengan prosedur yang progresif, telus, dipertimbangkan dengan baik untuk menangani sudut pandangan berbeza, dan prosedur itu mesti termasuk maklum balas daripada semua pihak berkepentingan," katanya semalam.

Pandangan gabungan itu dibuat susulan tindakan Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) membatalkan persembahan pelawak Singapura Sharul Channa selepas laporan polis dibuat terhadap salah satu video lamanya yang didakwa menyentuh isu bangsa, agama, dan raja (3R).

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata video lama persembahan Sharul dimuat naik baru-baru ini bagi mempromosikan persembahan itu, menyebabkan laporan polis dibuat.

Sharul berkata visanya telah diluluskan sebelum persembahan namun Puspal dan polis membatalkannya pada saat akhir setelah aduan dibuat.

Fahmi Fadzil

Ketegasan itu dibuat walaupun Sharul memberi jaminan bahawa persembahannya tidak akan menyentuh isu 3R.

Dia dijadualkan untuk membuat persembahan komedi berdiri Just Joking di PJ Live Arts Centre malam minggu lalu bersama dengan pelawak tempatan seperti Mad Sabah, Rizal van Geyzel, Shamaine Othman, dan Hindra Bose.

ReformARTsi berkata adalah hak rakyat Malaysia untuk memutuskan sendiri perkara yang boleh diterima atau sebaliknya.

“Dengan tidak membenarkan persembahan selepas meluluskan permit, Puspal telah merampas hak setiap penonton yang membayar tiket mereka.

"Tindakan Puspal pada saat-saat akhir itu juga secara tidak adil menganiaya artis, vendor, penganjur dan penonton yang telah membeli tiket," katanya.

Gabungan itu menambah kerajaan juga membatalkan beberapa pertunjukan sebelum ini, termasuk Good Vibes Festival tahun lepas, serta menutup tempat, produksi dan pameran kerana dianggap kontroversi oleh kumpulan tertentu.

“Kami ingin menuntut Puspal dan kerajaan supaya perkara ini tidak menjadi amalan atau prosedur operasi standard (SOP) kerajaan untuk menangani subjek yang dianggap kontroversi oleh kumpulan tertentu.

"Sebaliknya, kami menyeru pertimbangan lebih mendalam, siasatan dan rundingan antara agensi kerajaan dan pemain industri kreatif tentang cara mengurus aduan dan perbezaan yang timbul daripada acara kesenian," katanya.

Pada Julai tahun lalu, Fahmi mengarahkan pembatalan serta-merta baki dua hari Festival Good Vibes selepas "aksi liar" vokalis band The 1975, Matt Healy, di atas pentas yang membuat persembahan dipercayai sambil memegang sebotol minuman keras, sebelum mencium gitaris lelaki.

Pada 2022, pemilik Kelab Komedi Crackhouse disenaraihitamkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur berikutan kontroversi di kelab itu.

Salah seorang pemiliknya Mohamad Rizal Johan Van Geyzel juga didakwa di mahkamah berkait tindakannya membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum melalui aplikasi Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!